AM > BERITA

Malaysia Catat Peratus Perancang Keluarga Tidak Dipenuhi Agak Tinggi

26/09/2024 11:58 PM

KUALA NERUS, 26 Sept (Bernama) -- Malaysia mencatatkan jumlah keperluan perancang keluarga tidak dipenuhi yang agak tinggi iaitu sekitar 26.7 peratus pada 2022.

Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Datuk Sri Rohani Abdul Karim berkata ia bermaksud lebih satu daripada lima wanita di Malaysia yang belum bersedia untuk hamil enggan menggunakan sebarang kaedah kontraseptif moden untuk merancang kelahiran bayi mereka.

Beliau berkata situasi itu menyebabkan mereka terdedah kepada risiko hamil dalam keadaan tidak bersedia yang boleh mendatangkan kesan terhadap kesejahteraan dan kesihatan wanita.

"Selain itu, bagi kadar prevalens kontraseptif dalam kalangan wanita usia reproduktif di negara kita masih rendah iaitu 42.8 peratus dengan penggunaan kontraseptif yang juga rendah iaitu 34.5 peratus.

"Sementara prevalens kehamilan yang tidak dirancang pula tinggi iaitu sekitar 33 peratus," katanya ketika berucap merasmikan penutup Forum Advokasi Perancang Keluarga 2024 bertajuk ‘Kontraseptif Dalam Abad ke-21: Cabaran dan Peluang’.

Seramai 180 peserta hadir di forum tersebut yang dianjurkan bersama dengan Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Rohani berkata LPPKN telah mengatur pelbagai program untuk meningkatkan kesedaran wanita terhadap kaedah dan perlunya perancangan keluarga.

Beliau berkata perancangan keluarga tidak sepatutnya dilihat sebagai agenda mengurangkan kelahiran semata-mata tetapi  bertujuan membentuk institusi keluarga yang lebih berkualiti.

"Konsep merancang keluarga bukan untuk menyekat kelahiran bayi atau pertambahan keluarga, tetapi langkah proaktif bagi menjarakkan kehamilan dan mengelak melahirkan bayi dalam keadaan ibunya tidak bersedia," katanya.

Rohani berkata LPPKN juga menyediakan kontraseptif percuma kepada golongan B40 selain mengadakan kempen dengan tema Melancar Keluarga Sejahtera sepanjang September.

Beliau berkata menerus perancangan keluarga yang baik bukan sahaja membantu memastikan kestabilan ekonomi malah mewujudkan suasana yang harmoni dalam sesebuah perkahwinan.

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan