AM > BERITA

Pindaan Empat Perundangan Berkaitan Perusahaan, Komitmen Malaysia Terhadap CPTPP

26/09/2024 09:15 PM

KOTA KINABALU, 26 Sept (Bernama) -- Pindaan terhadap empat perundangan utama di bawah perhubungan perusahaan di Malaysia mencerminkan komitmen kerajaan Malaysia terhadap Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), khususnya di bawah Bab Buruh.

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Azman Mohd Yusof berkata empat perundangan tersebut adalah Akta Perhubungan Perusahaan (Pindaan) 2020, Akta Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2024, Peraturan-Peraturan Perhubungan Perusahaan 2024, dan Peraturan-Peraturan Kesatuan Sekerja 2024.

Beliau berkata 13 peruntukan dalam Akta Perhubungan Perusahaan (Pindaan) 2020 yang sebelum ini belum dikuatkuasakan, serta tiga pindaan perundangan tersebut, telah mula dikuatkuasakan pada 15 Sept lepas.

“Antara kandungan CPTPP mengkehendaki semua negara anggota menerima pakai dan mengekalkan dalam undang-undang dan peraturan serta amalan masing-masing berhubung hak yang terkandung dalam Deklarasi International Labour Organization (ILO) bagi Prinsip Asas dan Hak-hak di Tempat Kerja 1998.

“Kerajaan sentiasa berusaha untuk menangani isu perburuhan di negara ini dengan cara yang terbaik agar semua pihak berkepentingan, sama ada majikan atau pekerja, dapat menikmati manfaat yang sewajarnya,” katanya ketika merasmikan Program Simposium Pergerakan Kesatuan Sekerja Peringkat Borneo 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata pindaan berkenaan juga akan meningkatkan standard perburuhan di Malaysia yang kini mengambil kira prinsip utama seperti yang digariskan dalam standard perburuhan antarabangsa khususnya berkaitan kebebasan berkesatuan dan perundingan kolektif.

Mengulas mengenai program berkenaan, Azman berkata ia merupakan platform yang sesuai dan tepat untuk membincangkan hala tuju dan kelangsungan kesatuan sekerja dalam konteks di Sabah dan Sarawak.

“Saya difahamkan program ini adalah julung-julung kali diadakan bagi menghimpunkan kesatuan sekerja di Borneo ini. Dengan gabungan ini, tema yang dipilih sangat bersesuaian dengan konsep program iaitu "Stronger Together", bersesuaian dengan semangat dan aspirasi yang digarapkan pada Hari Malaysia.

“Semua kesatuan sekerja perlu mengamalkan pendekatan 'Stronger Together' untuk memastikan kepentingan ahli kesatuan sekerja terpelihara. Setiap anggota dalam kesatuan sekerja harus bergerak ke arah tujuan yang sama dan memperkuat komitmen terhadap matlamat kesatuan sekerja,” katanya.

Beliau berkata kerajaan sentiasa mengiktiraf dan menghargai jasa serta sumbangan kesatuan sekerja yang bertindak sebagai barisan hadapan warga pekerja yang bersama-sama membantu kerajaan dalam memastikan keharmonian dan kesejahteraan perhubungan perusahaan di Malaysia sentiasa terpelihara.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan