AM > BERITA

UMS Bakal Perkenal Portal Perkongsian Data Mentah, Mudahkan Penyelidikan

26/09/2024 09:43 PM

Daripada Nur Khalidah Abdul Halim

JAKARTA, 26 Sept (Bernama) -- Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal memperkenalkan sebuah portal pengumpulan dan perkongsian data mentah bagi memudahkan orang ramai khususnya pengkaji dan pelajar pascasiswazah melaksanakan penyelidikan di samping mempercepatkan proses inovasi.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS Profesor Dr Rosalam Sarbatly berkata projek data terbuka yang dibiayai oleh geran Erasmus+ European Union itu dijangka siap dan sedia digunakan pada tahun hadapan.

Menerusi polisi dan portal data terbuka itu, pengkaji dapat mengakses data merangkumi pelbagai bidang seperti sains sosial, biodiversiti dan kajian ekologi di Sabah untuk tujuan penyelidikan tanpa perlu turun ke lapangan, tambah beliau.

“Menerusi portal ini, pemilik data akan tetap mempunyai hak cipta atau mendapat pengiktirafan atas sumbangan inovasi yang dihasilkan menggunakan data mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas sesi perkongsian bertajuk ‘Open Science in Asia: Driving Innovation, Collaboration and Transparency’ sempena Pesta Buku Antarabangsa Indonesia (IIBF) 2024 di Jakarta Convention Centre (JCC) di sini hari ini.

Rosalam berkata konsep pembangunan data terbuka Asia itu melibatkan kerjasama dari lima negara iaitu Malaysia, India, Belanda, Finland dan Slovenia serta melibatkan lapan institut pengajian tinggi termasuk Universiti Malaya (UM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Seterusnya beliau menyatakan inisiatif berkenaan juga adalah usaha sama untuk membangunkan sains terbuka di Asia bagi memasyarakatkan bidang itu dan memastikan data kajian dapat digunakan secara meluas menerusi penggunaan 'big data' serta analisis kecerdasan buatan (AI).

Konsep data terbuka itu telah membolehkan penciptaan vaksin COVID-19 dengan pantas ketika musim COVID-19 sebelum ini kerana data berkaitan virus wabak itu dikongsi antara negara-negara yang melakukan inovasi penciptaan vaksin di seluruh dunia, kata beliau.

IIBF 2024 berlangsung di sini bermula semalam hingga Ahad ini.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan