AM > BERITA

Negeri Di Semenanjung Kini Bebas Rabies Libatkan Manusia

26/09/2024 11:11 PM

KANGAR, 26 Sept (Bernama) -- Negeri-negeri di Semenanjung kini bebas kes rabies, atau penyakit anjing gila, yang melibatkan manusia setakat ini namun langkah pencegahan melalui program vaksinasi terus dijalankan di kawasan berisiko terutama di lokasi yang bersempadan antarabangsa.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Dr Akma Ngah Hamid berkata vaksinasi dilakukan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand seperti Perlis dengan jarak kawalan dalam lingkungan 50 hingga 80 kilometer bagi memastikan penyakit rabies yang wujud di negara jiran tidak menular ke negara ini.

"Buat masa ini, tiada kes rabies dilaporkan di Semenanjung namun program vaksinasi anjing dijalankan setiap tahun untuk memastikan kawasan sempadan bebas daripada ancaman penyakit tersebut.

“Kami juga turut melaksanakan vaksinasi terhadap kucing kerana haiwan ini tidak mempunyai batas sempadan dan berpotensi menyebarkan penyakit," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Hari Kesedaran Penyakit Rabies Negeri Perlis 2024 di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Dr Akma juga berkata terdapat enam kes kematian membabitkan manusia disebabkan rabies direkodkan di Sarawak pada tahun ini sekali gus menyaksikan 74 kematian akibat penyakit itu sejak 2017.

Beliau berkata program hari ini adalah untuk menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat mengenai rabies, cara mencegahnya dan juga tindakan yang perlu diambil jika berlaku gigitan haiwan yang berpotensi dijangkiti.

"Bagi pemilik haiwan, pemberian vaksin (hendaklah dilakukan) secara berkala setahun sekali untuk memastikan haiwan peliharaan bebas daripada penyakit rabies.

"Selain itu masyarakat perlu berhati-hati dan segera mendapatkan rawatan jika terkena gigitan haiwan lebih-lebih lagi jika melibatkan anjing liar yang tidak diketahui status kesihatannya," kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan