AM > BERITA

Dakwaan Campur Tangan Kerajaan Dalam Siasatan SPRM Tidak Berasas - Setiausaha Politik

27/09/2024 05:33 PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Dakwaan campur tangan kerajaan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, anak-anaknya dan Tun Daim Zainuddin, adalah tidak berasas dan menimbulkan keraguan awam terhadap usaha kerajaan membanteras jenayah berkenaan.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim membuat kenyataan berkenaan sebagai mengulas artikel FMT baru-baru ini bertajuk ‘PMO Nafi Anwar Arah SPRM Siasat Anak Dr M, Daim’.

Artikel berkenaan merujuk kepada laporan Bloomberg mengenai kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang menafikan mengeluarkan sebarang arahan atau campur tangan dalam siasatan SPRM.

Muhammad Kamil dalam kenyataan yang dimuat naik di laman X berkata satu daripada cabaran utama dihadapi oleh pentadbiran semasa ialah persepsi bahawa agensi kerajaan termasuk SPRM, digunakan sebagai alat politik.

Beliau berkata tanggapan ini berakar umbi daripada tindakan kerajaan terdahulu, yang telah membentuk persepsi orang ramai.

Muhammad Kamil turut menjelaskan bahawa pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika ini  dilantik pada era Perdana Menteri kelapan, iaitu sebelum pentadbiran sekarang di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, kerajaan amat konsisten dalam komitmennya untuk memerangi rasuah dan tidak goyah dalam menegakkan integriti di bawah kepimpinan Anwar.

Beliau menyifatkan dakwaan baru-baru ini sebagai satu lagi percubaan jahat oleh segelintir pihak untuk menimbulkan ketidakstabilan politik, yang bertujuan mengalihkan tumpuan kerajaan dalam memulihkan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Walaupun gerakan politik sebegitu bertujuan menjejaskan kestabilan dan kemajuan, kerajaan tetap fokus menangani isu utama negara termasuk pemulihan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan pengukuhan tadbir urus.

“Pemulihan ekonomi negara adalah hasil langsung daripada tadbir urus dan dasar kukuh, sepertimana dilihat dalam petunjuk ekonomi positif misalnya pengukuhan ringgit dan peningkatan keyakinan pelabur.

“Keputusan ini hanya boleh dicapai melalui tadbir urus yang telus dan usaha memerangi rasuah tanpa henti. Tumpuan berterusan kerajaan terhadap pembaharuan dan tadbir urus yang baik adalah penting untuk mengekalkan trajektori positif dan menjamin masa depan yang makmur untuk negara,” katanya.

-- BERNAMA


 

 

 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan