AM > BERITA

PRK Mahkota: Syed Hussien Rayu Pengundi Pulang, Terjemahkan Sokongan Dalam Peti Undi

27/09/2024 06:46 PM

KLUANG, 27 Sept (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah sekali lagi merayu supaya pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, pulang mengundi esok.

Beliau berkata sokongan pengundi perlu diterjemahkan dalam kotak undi, bagi membolehkan usaha membina masa hadapan yang lebih baik kepada seluruh warga Mahkota dapat dilaksanakan, menerusi pentadbiran kerajaan negeri.

“Kita sudah menyantuni lebih daripada jumlah majoriti pengundi di sini, daripada pelbagai lapisan masyarakat dan tempat, yang kita dengar dan ambil hasrat serta cita-cita mereka.

“Alhamdulillah, sepanjang kempen saya nampak semangat keluarga besar Mahkota. Semangat kepelbagaian kaum dan agama untuk sama-sama harmoni dan ini yang perlu kita teruskan,” katanya semasa ditemui hari ini.

Ditanya mengenai perbuatan pembangkang yang cuba menjatuhkan reputasinya dengan dakwaan kes jenayah, Syed Hussien berkata perkara itu tidak benar dan ia tidak menjejaskan momentum kempen. 

“Tidak benar dan polis juga telah memberi kenyataan (dirinya tidak mempunyai rekod jenayah atau pernah dituduh di mahkamah). Jadi lebih baik saya fokus kepada DUN Mahkota.

“Kebajikan rakyat perlu terus menjadi keutamaan dan itu yang akan saya teruskan selepas ini,” katanya. 

Dakwaan itu juga telah dinafikan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjelaskan kejadian sebenar yang berlaku semasa Syed Hussien berusia 20-an itu, iaitu beliau cuba membantu orang buta yang diganggu dan dipukul sekumpulan lelaki. 

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh semalam juga mengesahkan, nama Syed Hussien tidak terdapat dalam rekod pendaftaran penjenayah.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara Syed Hussien dengan calon Perikatan Nasional (PN)  Mohamad Haizan Jaafar.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan