AM > BERITA

MARA Lulus RM400,000 Selenggara Fasiliti Daif Di MRSM Terendak

27/09/2024 07:38 PM

MELAKA, 27 Sept (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) meluluskan peruntukan segera berjumlah RM400,000 bagi tujuan menyelenggara pelbagai fasiliti di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Terendak yang dikategorikan sebagai MRSM paling uzur dan daif.

Pengerusinya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata menerusi lawatan dan penilaian beliau ke MRSM yang berusia 41 tahun itu hari ini mendapati antara fasiliti yang terkesan ialah tandas, kelas, bilik guru dan asrama pelajar.

"Saya telah melakukan lawatan ke 40 MRSM di seluruh negara dan saya boleh dikatakan fasiliti di MRSM Terendak yang paling teruk… saya tidak mahu menunding jari kepada mana-mana pihak tetapi saya melihat sendiri apa yang berlaku di sini berbanding 39 MRSM yang telah saya lawati.

"Saya telah mengarahkan pengetua dan timbalan ketua pengarah pendidikan membuat senarai keutamaan (pembaikan) fasiliti, saya bagi tempoh sebulan… paling penting tandas, bilik guru dan asrama mesti berada pada tahap yang baik," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Ekspo TVET@KKDW 2024 yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas lanjut, beliau berkata selain isu fasiliti yang daif, pelajar di MRSM berkenaan juga berdepan ancaman monyet liar namun ia bukan melibatkan pelajar di institusi itu sahaja bahkan di Kem Terendak secara keseluruhan.

Asyraf Wajdi berkata Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) juga telah melakukan pelbagai usaha bagi menangani ancaman haiwan itu termasuk pemasangan jaring dan beberapa kaedah lain bagi meminimumkan risiko ke atas pelajar.

"MRSM ini bukan setakat menawarkan pendidikan yang terbaik tetapi ekosistem dan persekitarannya juga mesti berada pada tahap terbaik dan pengetua memainkan peranan penting untuk memastikan keadaan fasiliti diselenggara dengan sempurna," katanya.

Terdahulu, Asyraf Wajdi berkata 48 daripada 663 pelajar di MRSM Terendak didapati mengalami simptom sakit perut dipercayai keracunan makanan dan lapan daripada mereka dirawat di hospital namun telah dibenarkan pulang.

Beliau berkata siasatan awal mendapati dapur MRSM berkenaan berada dalam keadaan kotor dan tidak terurus selain terdapat najis tikus dan pejabat kesihatan daerah telah mengeluarkan kompaun atas kesalahan yang dikesan.

"Jabatan Kesihatan akan membuat siasatan lanjut punca sebenar insiden keracunan makanan itu berlaku sama ada dari Dewan Selera atau makanan bungkus dari koperasi.

"Sudah tentulah perkara ini akan diberi perhatian serius… seperti mana yang diketahui, saya amat tegas dalam aspek ini sebab ia bukan kejadian pertama di MRSM cuma bila saya mengadakan lawatan secara mengejut boleh dilihat keadaan kebersihan persiapan makanan kepada pelajar tidak berada pada tahap yang sepatutnya," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan