AM > BERITA

PRK Mahkota: Polis Terima Enam Laporan, Buka Empat Kertas Siasatan

27/09/2024 09:01 PM

KLUANG, 27 Sept (Bernama) -- Polis Johor menerima enam laporan berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sepanjang tempoh kempen yang berlangsung sejak 14 Sept lepas. 

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata daripada jumlah itu, empat kertas siasatan dibuka dengan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Polis memberi jaminan bahawa siasatan akan dilakukan secara menyeluruh," katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat kepada pegawai dan anggota polis yang akan bertugas pada PRK tersebut di Sekolah Menengah Sains Sembrong, di sini, hari ini.

Kumar berkata kertas siasatan yang dibuka melibatkan kesalahan Seksyen 4A Akta Pilihan Raya 1954, Seksyen 504 dan 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 

Sepanjang tempoh berkempen, beliau berkata polis menerima 166 permohonan permit, dengan semuanya diluluskan. 

Berhubung hari pengundian esok, Kumar berkata seramai 1,399 pegawai dan anggota akan bertugas bagi memastikan kelancaran proses itu di semua 20 pusat mengundi. 

Seorang pegawai juga akan ditempatkan di setiap saluran mengundi, manakala 10 pegawai lagi akan berada dalam jarak 50 meter dari pusat mengundi, selain penugasan untuk kawalan lalu lintas bagi memastikan perjalanan berjalan lancar.

"Saya memberi jaminan bahawa dari segi keselamatan, tindakan telah diambil untuk mencegah sebarang insiden yang tidak diingini.

“Kita juga bersedia menghadapi kemungkinan banjir kilat, di mana 38 pegawai dan anggota sedia digerakkan bersama aset lori dan bot ke pusat mengundi jika situasi itu berlaku,” katanya.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dengan Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar. 

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan