AM > BERITA

Aktiviti Perniagaan Gisbh Di Seluruh Negara Lumpuh

27/09/2024 09:10 PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Aktiviti perniagaan melibatkan GlSB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di dalam negara dipercayai telah lumpuh susulan serbuan besar-besaran oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Op Global Fasa 1 hingga Fasa 4 bermula awal bulan ini.

PDRM juga membekukan 138 akaun bank milik syarikat membabitkan wang berjumlah lebih RM800,000, selain menyita 22 kereta pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM1,872,085 serta 14 lot hartanah yang menyukarkan syarikat berkenaan menjalankan operasi perniagaan mereka.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pemantauan pihaknya mendapati hampir semua premis berkaitan GISBH seluruh negara tidak lagi beroperasi dan polis mengalu-alukan sebarang laporan daripada bekas ahli GISBH dan mangsa mereka, untuk melengkapkan siasatan.

Beliau juga berkata kepercayaan masyarakat terhadap GISBH semakin terhakis kerana pendedahan siasatan pihak berkuasa serta pendedahan kegiatan organisasi itu oleh sebuah akaun media sosial yang mendakwa membuat kajian ajaran sesat, menyebabkan rangkaian GISBH mula merudum sejak Ogos lepas.

Razarudin juga berkata polis sedang menjejaki transaksi kewangan dan aset milik GISBH di dalam negara menerusi siasatan terhadap individu ditahan dan maklumat risikan yang diperoleh.

Dalam pada itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan akan terus memastikan PDRM mengendalikan siasatan terkait kegiatan GISBH dengan telus.

Beliau berkata ia termasuk memastikan 542 orang kanak-kanak bawah 18 tahun ditempatkan di penempatan perlindungan sementara diberikan akses kebajikan, kaunseling, kerohanian dan pendidikan bagi suatu tempoh hingga selesai siasatan.

Anwar turut memohon ahli dan para pendukung GISBH di dalam dan luar negara yang bukan di bawah siasatan untuk menghubungi pihak berkuasa bagi meluruskan segala permasalahan dihadapi.

Di Selangor, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sekali lagi menzahirkan rasa dukacita terhadap penderaan dan pengabaian kanak-kanak dikaitkan dengan GISBH, dengan mempersoalkan perlakuan tersebut seolah-olah organisasi itu tidak memahami hak kanak-kanak yang perlu dihormati dan disantuni.

Dalam hal tersebut, Sultan Sharafuddin bertitah inti pati khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk 'Kenapa GISBH Buat Begini Kepada Kanak-Kanak', yang disampaikan di masjid-masjid seluruh Selangor mengingatkan masyarakat bahawa anak-anak merupakan amanah daripada Allah SWT yang perlu dipelihara kemuliaan dan kebajikannya.

Di Pahang, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung tindakan penguatkuasaan dan siasatan terhadap individu serta premis yang dikaitkan dengan GISBH di negeri itu.

Di Perak, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dilaporkan akan menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bagi membentangkan laporan penuh berhubung kegiatan GISBH di negeri itu dalam masa terdekat.

Saarani turut memaklumkan sebanyak 55 kanak-kanak diselamatkan dari rumah amal milik syarikat itu di Perak sejak pelaksanaan Op Global pada 21 Sept lepas.

Di Kelantan, Mahkamah Majistret Kota Bharu membenarkan permohonan sambung reman selama tiga hari terhadap empat individu bagi membantu siasatan berkaitan kes GISBH, selepas tempoh reman mereka berakhir hari ini.

Polis mengadakan serbuan Op Global pada 11 Sept lepas terhadap 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH kerana didakwa terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Sejak Op Global bermula, lebih 300 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan dan 572 mangsa telah diselamatkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan