AM > BERITA

Mangsa Serangan Gajah Di Mersing Ditidurkan

27/09/2024 09:56 PM

MERSING, 27 Sept (Bernama) -- Seorang pekerja pembersihan kontrak yang cedera parah akibat diserang gajah di kawasan belukar di belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Tenggaroh 5 di sini semalam, kini ditidurkan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing DSP Sharif Shai Sharif Mondoi berkata mangsa, Zalini Dahlan, 51, masih lagi menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru. 

“Saya dimaklumkan oleh isterinya bahawa Zalini telah ditidurkan (diintubasi) atas nasihat doktor, dipercayai bagi memulihkan kembali tenaganya.

“Difahamkan terdapat keretakan pada tulang pinggul dan satu tulang rusuk, serta pendarahan dalam kepala mangsa. Ini adalah maklumat yang kita peroleh setakat petang tadi,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.”

Semalam, media melaporkan Zalini cedera parah manakala rakannya Mohamad Syafik Yakob, 31, meninggal dunia akibat diserang gajah selepas menghalau haiwan liar tersebut daripada mendekati kawasan SK Tenggaroh 5.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon dipetik berkata Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor akan melaksanakan kawalan dan pemantauan berterusan di kawasan Felda berkenaan dan operasi menangkap haiwan itu akan dimulakan serta-merta bagi memastikan keselamatan penduduk setempat

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan