AM > BERITA

Deretan Khemah Di Pantai Telok Kemang: Kerajaan N.Sembilan Akan Berbincang Dengan Pengusaha

27/09/2024 10:37 PM

SEREMBAN, 27 Sept (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan akan berbincang dengan pengusaha khemah di sekitar Pantai Telok Kemang, Port Dickson dalam waktu terdekat susulan isu deretan khemah sewa di kawasan itu yang didakwa mengganggu pemandangan orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan Nicole Tan Lee Koon berkata pelbagai aspek akan dinilai sebelum membuat keputusan, memandangkan kebanyakan pengusaha telah lama beroperasi dan menjalankan perniagaan di situ.

"Beberapa bulan lepas, kita telah menetapkan bahawa Pantai Cahaya Negeri dan Pantai Saujana tidak dibenarkan membuka khemah. Namun, kami telah menerima pelbagai kritikan. Kini, kita tidak boleh membuat keputusan yang mendadak, kita perlukan sedikit masa untuk menyelesaikan masalah ini.

“Apa pun, dalam masa terdekat, semua pengusaha akan dipanggil untuk berbincang mengenai perkara ini. Kita mahukan situasi menang-menang, jadi akan ada perbincangan tentang bagaimana kita dapat menyelaraskan perkara ini supaya ia tidak mencemarkan pemandangan dan kelihatan lebih teratur,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) 2024 Negeri Sembilan yang turut dihadiri Presiden MATTA Nigel Wong dan Pengerusi MATTA negeri Lee Fook Moi, di sini hari ini.

Terdahulu, tular di laman sosial mengenai pengguna yang meluahkan kritikan terhadap keindahan pantai tersebut yang dicemari oleh deretan khemah biru, sekali gus mengganggu mereka yang mahu beriadah di situ.”

Dalam pada itu, Tan berkata sehingga September ini, kedatangan pelancong domestik ke Negeri Sembilan telah melebihi 15 juta individu, mengatasi sasaran yang ditetapkan.

Bagaimanapun, beliau berkata kedatangan pelancong luar negara didapati agak berkurangan berbanding tahun lepas, sekali gus menyeru semua agensi pelancongan untuk membantu dan bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam membangunkan sektor pelancongan di Negeri Sembilan secara proaktif.

“Jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata; sebaliknya, marilah kita bergabung tenaga untuk membangunkan industri pelancongan Negeri Sembilan, kerana kita mempunyai banyak produk dan destinasi pelancongan yang boleh dilawati," katanya

-- BERNAMA 


 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan