AM > BERITA

Program Semarak@Muzium Sungai Lembing Bawa Masyarakat Dekati Sejarah Perlombongan

29/09/2024 09:47 AM

KUANTAN, 29 Sept (Bernama) -- Program Semarak@Muzium Sungai Lembing 2024 yang dianjurkan Jabatan Muzium Malaysia membawa masyarakat mendekati sejarah perlombongan di Sungai Lembing yang pernah melalui era kegemilangan sekitar 1900-an. 

Ketua Muzium Sungai Lembing Peterson Augustine Anak Augustine Jadan berkata menerusi program yang berlangsung dua hari bermula semalam, masyarakat khususnya golongan muda dapat melihat dengan lebih dekat artifak di muzium itu selain mencuba aktiviti disediakan. 

Bertemakan ‘Muzium dan Pendidikan’ beliau berkata antara aktiviti menarik ialah El Dorado Mining Gemstone iaitu pengunjung berpeluang merasai kaedah perlombongan palung oleh pelombong dahulukala. 

"Objektif aktiviti yang pertama kali diadakan itu antara lain kita nak dekatkan masyarakat dengan muzium, dalam masa yang sama mereka dapat ilmu terutamanya berkaitan perlombongan bijih timah yang pernah terkenal di sini suatu ketika dahulu," katanya kepada Bernama.  

Antara artifak yang boleh dilihat pengunjung pula ialah gerudi gergasi iaitu alat digunakan dalam perlombongan bawah tanah, roda kiew yang berfungsi untuk kerja-kerja menurun dan menaikkan pekerja dan barang selain penuang bijih serta mesin kira. 

Program Semarak@Muzium Sungai Lembing yang menyasarkan 3,000 pengunjung itu dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad semalam dan turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia Datuk Kamarul Baharin A Kasim. 

Lebih menarik, Peterson Augustine berkata pihaknya turut mengadakan Pameran Foto Pai Naa bermula semalam hingga 25 Dis ini, yang membawa pengunjung menelusuri masa menerusi koleksi foto yang diambil sekitar Sungai Lembing pada awal 1940-an oleh Nona Baker. 

Nona Baker merupakan adik kepada Pengurus Besar Pahang Consolidated Company Limited (PCCL) V.B.C Baker yang pernah menetap di bangunan Muzium Sungai Lembing atau lebih dikenali sebagai European Bunglow 1 (EB1) dahulu. 

"Kami telah menerima kira-kira 32 gambar daripada waris Nona Baker yang berkunjung ke muzium ini tahun lepas dan menyerahkan foto kepada kami yang mana koleksi itu tidak pernah dipamerkan sebelum ini," katanya. 

Mengulas lanjut, beliau berkata program itu juga bersifat serampang dua mata apabila melibatkan penduduk tempatan yang menjual pelbagai makanan selain pihaknya menganjurkan pertandingan Eksplorasi El Dorado dan acara sukan seperti Komuniti Fun Run and Ride yang berlangsung pagi ini. 

Beliau memaklumkan Muzium Sungai Lembing turut memanfaatkan media sosial sebagai platform untuk mempromosikan aktiviti dan artifak sejarah sebagai usaha memastikan peranan muzium kekal relevan. 

Muzium yang menggunakan bangunan asal tempat kediaman pengurus besar syarikat lombong bijih timah itu dibuka setiap hari bermula 9 pagi hingga 5 petang dengan bayaran masuk hanya RM2. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan