AM > BERITA

Nurul Hazwanie Daftar Sebagai Pelajar Baharu Di UPSI

29/09/2024 12:18 PM

IPOH, 29 Sept (Bernama) -- Anak seorang penoreh getah, Nurul Hazwanie Badeli yang kisah kesukaran beliau melanjutkan pelajaran akibat dihimpit masalah kemiskinan menjadi tular di media sosial beberapa hari lepas, telahpun mendaftarkan dirinya sebagai pelajar baharu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) semalam.

Pengarah Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI Prof Madya Dr Mohd Abdul Nasir berkata Nurul Hazwanie adalah seorang daripada 93 pelajar dari seluruh negara yang menerima bantuan skim bantuan pendaftaran pelajar baru bagi kemasukan semester satu sesi  2024/25. 

“Pihak WEZAS dengan kerjasama pihak Bendahari, Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA) dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEPA) membuat saringan data pendaftaran pelajar baru bagi mengenal pasti pelajar yang memerlukan bantuan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pelajar-pelajar yang menerima bantuan di bawah skim ini dibahagikan kepada dua, iaitu kategori kritikal yang membabitkan 36 pelajar masing-masing menerima bantuan RM3,000, manakala kategori separa kritikal iaitu seramai 57 pelajar masing-masing diberikan bantuan RM1,500.

Kisah masalah kewangan keluarga Nurul Hazwanie telah mengundang keprihatinan UPSI untuk memilih pelajar dari Kampung Tok Pelanduk, Pasir Mas, Kelantan itu sebagai salah seorang penerima bantuan skim WEZAS.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan