AM > BERITA

Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia Diraikan Dengan Konsert Piano Di Prague

29/09/2024 08:40 PM

 KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Melodi piano yang mempesona memenuhi Muzium Muzik Czech di Prague apabila pemain piano  Malaysia, Claudia Yang, memukau para hadirin dengan persembahan menarik dan bertenaga sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Adunan harmoni muzik klasik Eropah dan irama lagu-lagu kegemaran Malaysia seperti “Getaran Jiwa” dan “Chan Mali Chan”  membuat pendengar terpesona mendengar alunan muzik yang dimainkan.

Konsert piano yang diadakan pada 26 September itu mendapat sambutan hebat dan turut dihadiri . Timbalan Pertama Menteri Hal Ehwal Luar Republik Czech, Jiří Kozák.

Antara yang hadir termasuk diaspora Malaysia, pegawai kerajaan, sahabat Malaysia, serta duta dan diplomat Czech yang baru sahaja menamatkan tugas mereka di Malaysia.

Duta Besar Malaysia ke Republik Czech, Suzilah Mohd Sidek berkata konsert itu bertujuan untuk memperkenalkan pemain piano Malaysia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa serta mempamerkan warisan muzik Malaysia yang penuh dengan kepelbagaian dan bertenaga.

"Secara umumnya, masyarakat Eropah mempunyai penghargaan mendalam terhadap muzik klasik, sebab itulah kami memilih untuk menganjurkannya di Muzium Muzik.

"Ramai hadirin menggambarkan pengalaman ini sebagai unik kerana ia merupakan kali pertama mereka mengunjungi muzium itu dan menikmati konsert dalam suasana yang luar biasa,” katanya kepada Bernama.

Tahun ini merupakan  ulang tahun ke-53 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Republik Czech.

--BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan