BERITA TERGEMPAR   Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | 
 AM > BERITA

Malaysia Sebagai Pengerusi ASEAN Komited Selesai Isu Laut China Selatan

27/11/2024 02:01 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Malaysia komited untuk menyelesaikan sebarang isu berkaitan Laut China Selatan secara konstruktif dengan menggunakan forum dan saluran diplomatik yang sesuai sebagai Pengerusi ASEAN tahun hadapan, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin.

Beliau berkata Malaysia yang juga negara penyelaras dialog ASEAN-China dari Ogos 2024 hingga Julai 2027 akan terus menyuarakan pendirian tegas berhubung keselamatan perairan negara termasuk isu pencerobohan di Beting Patinggi Ali, Sarawak di platform berkaitan bagi memastikan kedaulatan dan kepentingan negara kekal terpelihara.

Beliau berkata Malaysia berpendirian tegas bahawa semua pihak perlu mengelak tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan atau bersifat provokatif dan mengamalkan pendekatan self-restraint

"Kementerian Luar secara konsisten telah dan akan mengemukakan nota bantahan kepada negara-negara yang berkenaan sekiranya kapal dan aset mereka didapati menceroboh perairan negara," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau) mengenai perancangan kerajaan dalam mempertahankan pencerobohan terhadap Beting Patinggi Ali yang berlaku sejak 2013 dan langkah alternatif yang wajar dilaksanakan memandangkan pendekatan mengawal kapal pengawal pantai China dan nota diplomatik tidak berkesan kerana China tidak mengiktiraf Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).

Mohamad berkata mesyuarat keempat Kumpulan Kerja Bersama ASEAN-China, dengan Malaysia sebagai pengerusi bersama, kini sedang berlangsung di Vientiane, Laos untuk memuktamadkan Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan.

"COC ini perlu dihormati oleh semua negara ASEAN dan China yang telah memeterai Deklarasi Kod Tatalaku (DOC) di Laut China Selatan pada 2002. Sekarang kita dalam proses untuk memuktamadkan COC," katanya.

Mohamad sekali lagi mengulangi pendirian Malaysia untuk tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan berdasarkan Sembilan Garis Putus atau mana-mana peta diterbitkan negara itu yang meliputi kawasan maritim negara ini.

Berhubung kawalan di kawasan Beting Patinggi Ali, beliau berkata kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa memberi perhatian serius terhadap keselamatan di kawasan perairan negara. 

"Tindakan yang diambil termasuklah rondaan pengawasan, pemantauan dan penguatkuasaan di dalam kawasan maritim Malaysia bagi mempamerkan kehadiran (pihak berkuasa) di kawasan terbabit," katanya.

Kerajaan sebelum ini menegaskan Beting Patinggi Ali ialah milik Malaysia dan tidak pernah mengiktiraf sebarang tuntutan daripada mana-mana pihak memandangkan ia di dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan