BERITA TERGEMPAR   Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | 
 AM > BERITA

PetGas Catat Untung Bersih RM493.67 Juta, Umum Dividen 18 Sen

27/11/2024 05:05 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih Petronas Gas Bhd (PetGas) melonjak kepada RM493.67 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2024 daripada RM468.46 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, PetGas berkata kenaikan didorong oleh keuntungan kasar lebih tinggi dan aliran tukaran asing yang menggalakkan berikutan pengukuhan sementara ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk liabiliti pajakan penggunaan jeti di Terminal Regasifikasi Pengerang (RGTP). 

Syarikat utiliti dan infrastruktur gas itu mencatatkan perolehan RM1.66 bilion pada suku ketiga 2024, meningkat daripada RM1.55 bilion, sebahagian besarnya didorong oleh segmen utiliti yang menyaksikan kenaikan jumlah pelanggan dan pemprosesan gas, selain peningkatan pendapatan caj tempahan mengikut terma baharu.

Lembaga Pengarah PetGas sudah meluluskan dividen interim ketiga sebanyak 18 sen sesaham, berjumlah RM356.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024, dibayar pada 24 Dis 2024.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept 2024, Petgas merekodkan keuntungan bersih RM1.42 bilion berbanding RM1.38 bilion sebelumnya. 

Jumlah perolehan juga meningkat kepada RM4.92 bilion daripada RM4.86 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Abdul Aziz Othman berkata kumpulan itu menjangkakan untuk mencatatkan pencapaian kewangan yang kukuh pada 2024, disokong oleh kontrak pendapatan yang stabil dan prestasi operasi yang mampan.

“Kumpulan kekal komited untuk mengoptimumkan kecekapan kos bagi mengurangkan kesan daripada persekitaran kos inflasi,” katanya dalam kenyataan berasingan. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan