BERITA TERGEMPAR | Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | |
PUTRAJAYA, 21 Nov (Bernama) -- Kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan ke Kementerian Pendidikan (KPM) baru-baru ini merupakan suatu usaha untuk menyokong hala tuju pendekatan dasar luar Malaysia terhadap Afghanistan.
Dalam kenyataan hari ini, KPM memaklumkan program kunjungan itu dilaksanakan berdasarkan panduan dan nasihat Kementerian Luar serta mendapat khidmat sokongan daripada kementerian dan agensi berkaitan bagi tujuan tapisan keselamatan dan pemantauan berterusan sehingga program selesai.
Negara juga bersedia memberikan bantuan dari segi pembangunan kapasiti dalam bidang kesihatan dan kemanusiaan yang akan menyumbang kepada kemajuan sosial negara tersebut.
“Menerusi kunjungan ini, KPM telah melaksanakan pembentangan yang memberi gambaran menyeluruh sistem pendidikan negara termasuk berkenaan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan dan wanita di Malaysia.
“Ia memperlihatkan sistem pendidikan negara yang inklusif serta tumpuan kepada peningkatan akses dan ekuiti merentasi status sosialekonomi, gender, etnik dan geografi,” menurut kenyataan itu.
KPM memaklumkan perkara itu selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 4: Pendidikan Berkualiti (SDG 4) termasuk untuk menghapuskan kesenjangan jantina dan memastikan akses sama rata dan menyeluruh di semua peringkat pendidikan.
“Kunjungan itu turut memberi pendedahan kepada delegasi Afghanistan untuk melihat sendiri dan memahami model pendidikan terbaik di negara Islam moden yang disegani di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Delegasi Afghanistan juga telah menyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai rujukan amalan terbaik dalam membangunkan dasar pendidikan di negara tersebut khususnya daripada aspek pembangunan kurikulum, latihan dan pembangunan guru serta teknologi pendidikan.
“Komitmen KPM adalah selari dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun lepas yang bersedia meningkatkan kerjasama dengan Afghanistan.
“Pada masa sama, hak pendidikan tidak boleh dinafikan. Justeru, Malaysia komited dan mendukung penuh hak pendidikan kepada wanita serta akses pendidikan kepada kanak-kanak perempuan,” menurut kenyataan itu.
Semalam, Pengerusi DAP Lim Guan Eng menuntut penjelasan daripada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berhubung kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan yang dipimpin Taliban ke kementeriannya, baru-baru ini.
Semasa sidang media di Pusat Media Parlimen, Guan Eng menyifatkan lawatan delegasi itu menimbulkan persoalan memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara tersebut selain tiada keperluan untuk Malaysia mempunyai hubungan dengan negara yang mengamalkan diskriminasi terhadap wanita.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial