BERITA TERGEMPAR | Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | |
GEORGE TOWN, 27 Nov (Bernama) -- Capaian liputan 5G di kawasan berpenduduk di seluruh Pulau Pinang telah mencapai 91.7 peratus setakat 17 Nov.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata sehingga kini, terdapat 445 tapak struktur pemancar komunikasi telah tersedia liputan 5G di negeri itu.
Beliau berkata penambahbaikan liputan telekomunikasi di atas Jambatan Pulau Pinang juga telah selesai sepenuhnya pada 31 Okt, setelah kerja-kerja berkaitan dimulakan pada pertengahan tahun ini.
“Pengujian liputan dijalankan Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 13 Nov dan berada dalam keadaan yang baik dan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 dan Usul Anggaran Pembangunan 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Di samping liputan rangkaian 5G bagi struktur luar, Zairil berkata kerajaan negeri juga memberikan fokus kepada rangkaian dalam bangunan (IBC), dengan Komtar menjadi bangunan terbaharu dilengkapi kemudahan berkenaan selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Pusat Konvensyen Arena SPICE.
Mengulas kebimbangan kemungkinan projek Pulau Silikon menyebabkan banjir besar di selatan Pulau Pinang, Zairil berkata projek berkenaan mengintegrasikan reka bentuk berdasarkan kepada biodiversiti yang membolehkan air hujan mengalir ke saluran yang terletak secara strategik untuk dialirkan ke laut.
Beliau berkata reka bentuk itu selari dengan konsep ‘bandar span’ yang menekankan landskap bandar dan tumbuh-tumbuhan untuk menahan dan memulihkan aliran air, mengawal banjir dan menambah semula air bawah tanah.
“Sistem saliran Pulau Silikon direka dengan teliti untuk memenuhi Piawaian Selang Masa Purata 100 Tahun (ARI), dengan menggabungkan ciri-ciri seperti terusan dan kawasan berpaya yang berfungsi sebagai sistem takungan semula jadi untuk mengurangkan risiko banjir,” katanya.
Persidangan DUN bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial