AM > BERITA

Penumpang Bingung Selepas Penerbangan Di LTSAH Dibatalkan Susulan Banjir

29/11/2024 10:20 PM

ALOR SETAR, 29 Nov (Bernama) -- Beberapa penumpang yang dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di sini bingung apabila dimaklumkan penerbangan mereka dibatalkan susulan penutupan landasan terbang buat sementara akibat banjir. 

Seorang penumpang Jasni Effendi Md Hasan, 53, dari Kangar, Perlis terkejut selepas mendapati penerbangannya ke Subang, Selangor pada 8.25 malam ini dibatalkan.

“Saya baru sampai tak tahu pula penerbangan dibatalkan. Saya sepatutnya naik Malaysia Airlines pada 8.25 malam ini dan turun di Subang untuk bercuti di Puchong bersama keluarga.

“Sekarang ini saya tak tahu macam mana sebab hotel semua dah tempah dan perancangan dah dibuat lama untuk bawa anak-anak naik kapal terbang, sekarang terpaksa berpatah balik ke Kangar,” katanya ketika ditemui Bernama di Terminal LTSAH di sini hari ini.

Jasni Effendi berkata dia dan isteri tidak mengetahui bahawa landasan dinaiki air namun dimaklumkan oleh kenalan bahawa kawasan sekitar lapangan terbang mengalami banjir yang agak teruk.

“Tadi masa memandu dari rumah di Kangar untuk ke sini saya tanya kawan-kawan mengenai jalan yang boleh dilalui atau ditutup. Memang banyak kawasan dan jalan raya yang dinaiki air,” kata penjawat awam itu.

Jasni Effendi berkata syarikat penerbangan memaklumkan dia boleh menukar tarikh penerbangan atau mendapatkan bayaran balik ekoran pembatalan itu. 

Achilleus Arthur, 19, turut terkejut selepas dimaklumkan penerbangannya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 7 malam ini dibatalkan.

Dia hanya mengetahui pembatalan penerbangan tersebut sebaik tiba di lapangan terbang pada 5 petang tadi dan setakat ini belum pasti apa yang harus dilakukan ekoran keadaan itu.

“Memang sekarang ini bingung, dari 5 petang sampai sekarang 6.30 petang saya hanya duduk di lapangan terbang tak tahu nak buat apa sebab ia berlaku di saat akhir,” katanya yang sepatutnya menaiki penerbangan AirAsia ke KLIA2 sebelum menaiki penerbangan lain ke Kota Kinabalu, Sabah.

Pelajar Universiti Malaysia Perlis itu berkata dia baru selesai menduduki peperiksaan hari ini dan bercadang pulang ke kampung halamannya di Tuaran sempena cuti pertengahan semesta.

“Sekarang ni saya masih berfikir sama ada nak tukar tarikh atau minta bayaran balik daripada syarikat penerbangan. Saya nak tengok keadaan esok macam mana, kalau keadaan banjir dah pulih baru buat keputusan,” katanya.

Sementara itu, seorang petugas di LTSAH yang enggan namanya dikenali memaklumkan empat penerbangan pada petang dan malam ini serta dua penerbangan pada pagi esok dibatalkan.

“Pihak lapangan terbang akan buat pengumuman esok, tengok keadaan tengah hari esok macam mana mungkin akan ada pengumuman lain,” katanya.

Terdahulu, Malaysia Airport mengeluarkan Notis kepada Juruterbang (NOTAM) di LTSAH hari ini dan menutup landasan terbang di lapangan terbang itu buat sementara waktu susulan kejadian banjir.

Bagaimanapun, Malaysia Airport memaklumkan terminal lapangan terbang itu tetap dibuka dan menasihatkan penumpang menyemak dengan syarikat penerbangan mereka untuk mendapatkan maklumat penerbangan terkini untuk perjalanan ke dan dari LTSAH.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan