AM > BERITA

Perbincangan Penyertaan Malaysia Dalam ISA Masih Berjalan

30/11/2024 02:21 PM

Daripada Ahmad Aidil Syukri Hamzah

NEW DELHI, 30 Nov (Bernama) -- Perbincangan mengenai penyertaan Malaysia dalam Perikatan Solar Antarabangsa (ISA) masih lagi berjalan, kata Ketua Pengarahnya Dr Ajay Mathur.

Bercakap dalam sesi interaksi bersama wartawan ASEAN di sini, Mathur berkata Kementerian Tenaga India telah mencadangkan penyertaan Malaysia dan beliau berharap perkara ini dapat direalisasikan dalam masa terdekat.

“Perbincangan mendalam telah dijalankan dan kami berharap untuk merealisasikannya tidak lama lagi. Jadi, semoga Malaysia dan Indonesia berada dalam perancangan kami tidak lama lagi,” katanya.

Pada September lepas, Ketua Operasi ISA Joshua Wycliffe mendedahkan perbincangan dengan Malaysia sedang berjalan, dibantu kerjasama erat bersama Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri India yang  berhubung rapat dengan Kementerian Luar Malaysia.

Beliau berkata terdapat penjelasan yang menunjukkan Malaysia berminat menyertai ISA.

ISA yang ditubuhkan semasa Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP21) di Paris pada 2015, merupakan inisiatif kerjasama antara India dan Perancis yang bertujuan menyatukan usaha menangani perubahan iklim melalui penyelesaian tenaga solar.

Pada masa ini, kira-kira 100 negara telah menandatangani perjanjian itu, dengan sekitar 90 daripadanya meratifikasi untuk menjadi anggota penuh.

ISA mencapai kemajuan signikan di rantau ASEAN, dengan Singapura menyertai perikatan tahun lepas dan Kemboja juga merupakan ahli.

Malaysia dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah membuat kemajuan ketara dalam tenaga solar, menyedari kepentingannya untuk kemampanan dan pengurangan pelepasan karbon. Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) menetapkan matlamat meningkatkan penggunaan tenaga solar daripada empat peratus kepada 58 peratus menjelang 2050.

Dalam sesi interaksi berkenaan, Mathur turut menekankan ISA sedang mempertimbangkan Singapura sebagai hab berpotensi untuk Kemudahan Solar Global bagi rantau ASEAN.

“Kami telah melancarkan Kemudahan Solar Global untuk Afrika, dan kami hampir melancarkannya di ASEAN. Kami sedang melihat Singapura sebagai hab untuk kemudahan ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan