KUALA KRAI, 30 Nov (Bernama) -- Empat beranak bersama dua lagi mangsa banjir terpaksa meredah hutan untuk menyelamatkan diri selepas rumah mereka di Kampung Sungai Embak di sini, dinaiki air sedalam kira-kira lima kaki berikutan hujan lebat, semalam.
Azila Abdul Aziz, 38 berkata dia bersama suami dan dua anaknya masing-masing berusia lapan dan tujuh tahun serta ditemani dua lelaki warga Indonesia berjalan di dalam hutan kira-kira 15 minit sebelum sampai di tempat berlindung di surau An-Naim.
“Kira-kira 11 malam tadi, saya dan keluarga bersama dua lelaki Indonesia redah hutan. Perasaan ketika itu hanya Allah saja yang tahu betapa sukarnya perjalanan dilalui sebab saya tidak pernah masuk ke hutan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sebagai langkah berjaga-jaga, Azila berkata dia telah memaklumkan kepada ahli keluarga lain serta rakan-rakan mengenai situasi yang berlaku sebelum mengambil keputusan meredah hutan berkenaan.
"Saya berserah kepada Allah kerana kami semua turun dari rumah sehelai sepinggang dan hanya bawa dokumen penting sahaja untuk mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku," katanya.
Tinjauan Bernama hari ini mendapati beberapa kampung di Kuala Krai masih lagi digenangi air susulan hujan berterusan beberapa hari lepas seperti Kampung Baru Sungai Durian, Kampung Chenulang, Kampung Kuala Nal dan Kampung Keroh.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 12 tengah hari, sebanyak 40 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kuala Krai dengan menempatkan lebih 5,000 mangsa banjir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial