ALOR SETAR, 1 Dis (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan pengendali pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mangsa banjir supaya memastikan kualiti makanan terjaga bagi mengelakkan sebarang kes keracunan makanan akibat makanan tercemar.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata memastikan keselamatan dan kualiti makanan amat penting, selain mengawal penularan penyakit bawaan banjir sepanjang tempoh bencana ini.
“Paling mustahak pastikan tiada kes keracunan makanan atau penyakit yang berkaitan dengan banjir. Buat masa ini, tiada kes penyakit berjangkit seperti leptospirosis (kencing tikus).
"Selepas banjir, kemungkinan wabak denggi akan memerlukan pemantauan rapi. Apa-apa pun, yang paling penting, sesiapa yang memerlukan rawatan khusus akan dipindahkan, misalnya bagi rawatan hemodialisis," katanya kepada pemberita selepas melawat PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Kepala Batas, dekat sini, hari ini.
Beliau turut berkata pihaknya berpuas hati dengan pengurusan fasiliti kesihatan di negeri ini yang setakat ini berada dalam keadaan terkawal dan maklumkan Jabatan Kesihatan Negeri juga akan terus memantau dan menambah baik kualiti perkhidmatan mereka.
Dzulkefly berkata fasiliti kesihatan di bawah KKM yang terjejas akibat banjir telah dipindahkan ke lokasi terdekat bagi memastikan perkhidmatan rawatan dapat diteruskan seperti biasa walaupun dalam situasi bencana.
"Kami berharap cuaca akan bertambah baik selepas ini dan diharapkan juga cuaca di negara jiran akan reda supaya limpahan air dari sana tidak menjejaskan kawasan kita," katanya.
Beliau berkata petugas KKM sepanjang tempoh banjir akan diarahkan membantu fasiliti yang memerlukan jika perlu.
"Misalnya mungkin ada petugas dihantar ke negeri lain atau ke daerah lain dalam negeri yang sama untuk membantu," katanya.
Setakat pagi tadi, jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 8,754 orang daripada 2,671 keluarga sejak bencana itu melanda negeri tersebut pada Rabu lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial