BAGAN DATUK, 1 Dis (Bernama) -- Sebanyak 14 projek dilaksanakan menerusi program Kampung Angkat MADANI (KAM) di Kampung Sungai Betul, di sini di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kesemua projek itu akan disiapkan tahun ini.
Dari segi pencapaian keseluruhan KAM, katanya KKDW menduduki tangga pertama daripada 43 KAM bagi kemajuan pelaksanaan projek dan perbelanjaan.
"Mengikut rekod daripada seluruh kementerian yang ada, peruntukan pun sama... tetapi yang lengkap dan menyiapkan projek setakat ini hanya KKDW, manakala kementerian lain sedang dalam proses menyiapkannya," katanya dalam ucapan pada pelancaran Program Tautan Desa MADANI di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Betul di sini hari ini.
Terdahulu Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut meninjau sejumlah projek yang sedang dilaksanakan di bawah inisiatif berkenaan.
Projek berkenaan antaranya membabitkan lapan projek fizikal iaitu naik taraf pagar di Beting Beras Basah, naik taraf jalan perhubungan desa dari Kampung Bagan Sungai ke Beting Beras Basah, naik taraf jalan ladang pertanian, naik taraf dewan orang ramai, naik taraf padang bola sepak SK Sungai Betul, baik pulih Titi Sungai Balai dan Titi Klinik Desa Sungai Balai, naik taraf Surau Idrisiah dan Masjid Ismailiah serta baik pulih Rumah Rakyat Miskin/B40 sebanyak 25 rumah.
Selain itu, enam projek bukan fizikal iaitu Gotong Royong Keceriaan, Program Tautan Desa MADANI KKDW, Kursus Kek dan Pastri (GIAT MARA), Kursus Penyelenggaraan Motosikal (GIATMARA), Program Mobile Learning: Hands-On Pengurusan Desa - (INFRA) dan Kursus Kecemerlangan Belia Luar Bandar (INFRA).
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan bersikap 'buta warna' dalam melaksanakan inisiatif melibatkan kepentingan rakyat.
"Walaupun Sungai Betul dulu 'hijau pekat' (menyokong pembangkang), tak apa saya maafkan. Kita MADANI (Kerajaan MADANI), kita buta warna… kita bantu termasuk di kawasan pekat hijaunya, prinsip kita kawasan yang tak mendukung (tidak memberi sokongan) pun kita akan laksanakan demi rakyat," katanya.
Beliau berkata projek naik taraf dan pembangunan untuk keperluan rakyat juga meliputi kesemua kemudahan walaupun melibatkan keperluan kelompok kecil.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid mengumumkan peruntukan untuk menaik taraf Dewan Kampung Sungai Betul dengan pembinaan dinding dan pemasangan penyaman udara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial