AM > BERITA

281 Lokasi Terjejas Bencana Di Seluruh Negara, Paling Banyak Di Terengganu

01/12/2024 06:16 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Sebanyak 281 lokasi di seluruh negara terkesan pelbagai kejadian bencana susulan hujanh yang melanda negara dengan paling banyak direkodkan di Terengganu iaitu 131 lokasi.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata berdasarkan laporan Bilik Gerakan Bencana (BigBen) setakat 2 petang ini, Kelantan merekodkan 102 lokasi terjejas, Kedah (39 lokasi), Negeri Sembilan (tiga lokasi), Selangor (tiga lokasi), Pahang (dua lokasi) dan Perak (satu lokasi).

"Daripada 281 lokasi yang dilaporkan terjejas, 87 lokasi melibatkan jalan Persekutuan dan 194 jalan negeri. Kes bencana yang dilaporkan ialah 231 kejadian banjir, banjir kilat (20), cerun runtuh (14),  jalan runtuh (sembilan) dan jalan mendap (tujuh). 

"Saya menyeru semua pihak untuk berhati-hati dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan bersama," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini. 

Pada hantaran lain, Nanta berkata Projek Pembinaan Jalan Raya Simpang Pulai-Gua Musang-Kuala Berang Pakej 8 dari Kampung Jeneris ke Kuala Telemong Fasa 2 dan 3 Hulu Terengganu, kritikal untuk disiapkan mengikut jadual untuk keselamatan dan keselesaan penduduk setempat dan pengguna jalan raya.

Beliau berkata projek dengan kos lebih RM160 juta itu melibatkan pembinaan jalan baru tunggal dua lorong sepanjang 15.75 kilometer, dua jambatan baharu dan satu jambatan tambahan kecil serta sistem perparitan dan saliran kiri kanan jalan itu dijangka siap pada 23 Okt 2026. 

"Paling utama, pembinaan jalan dan jambatan ini adalah untuk memastikan hubungan dan akses jalan raya di sini tidak lagi terputus (pada musim tengkujuh) di masa depan," katanya. 

Nanta berkata musim hujan kebelakangan ini menimbulkan kekangan terhadap kelancaran pelaksanaannya memandangkan tapak binanya terletak di kawasan tadahan hujan, dan banjir di sebahagian tapak projek menyebabkan kerja rawatan tanah tidak dapat dijalankan kerana aras air tinggi.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan