AM > BERITA

Belanjawan Perak 2025 Diluluskan, Pusat Khidmat ADUN Dapat BKK Dua Bulan

05/12/2024 04:32 PM

IPOH, 5 Dis (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini sebulat suara meluluskan Belanjawan 2025 yang memperuntukkan RM1.52 bilion, belanjawan tertinggi dalam sejarah. 

Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2025 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2025 sebelum itu dibahaskan selama dua hari bermula Isnin lepas melibatkan 45 wakil rakyat, iaitu 19 daripada blok kerajaan dan 26 blok pembangkang.

Belanjawan Perak 2025 dibentangkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad pada 29 Nov lepas.

Bertemakan "Perak Makmur, Rakyat Sejahtera", belanjawan itu memfokuskan lima keutamaan, iaitu kesejahteraan rakyat, tadbir urus projek berkepentingan negeri, pembangunan modal insan dan belia, kelestarian alam sekitar serta keterjaminan bekalan makanan.

Sementara itu, Saarani dalam ucapan penggulungannya turut mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) dua bulan elaun kepada setiap Pusat Khidmat DUN di Perak. 

"Semasa saya umumkan BKK dua bulan gaji pada 29 Nov, saya tidak sebut BKK untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), minta maaf kali ini saya tak dapat beri (BKK), jadi sebagai ganti saya setuju untuk beri BKK kepada pusat khidmat DUN, bermakna kita akan bayar RM14,000 untuk setiap pusat khidmat. 

"Dengan harapan YB-YB (Yang Berhormat) dapat terus berkhidmat kepada rakyat terutama pada musim banjir ini," katanya. 

Terdahulu, Saarani berkata sebagai Menteri Besar, beliau akan sentiasa memastikan setiap lapisan rakyat tanpa mengira kawasan kerajaan mahupun pembangkang, akan dapat merasai hasil peruntukan yang disalurkan. 

“Kerajaan Negeri tidak akan menzalimi mana-mana rakyat di semua 59 kawasan DUN di negeri Perak, bagaimanapun saya mengakui, masih ada ruang penambahbaikan boleh dilakukan bagi memastikan proses pengagihan peruntukan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata pihak Unit Perancang Ekonomi (UPEN) telah diminta menyediakan satu garis panduan khusus untuk memastikan tatacara pengagihan peruntukan bagi kawasan kerajaan dan pembangkang pada tahun hadapan dapat dilakukan dengan lebih baik dan tersusun.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan