KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Terkesan dengan kehilangan ayahnya dalam kemalangan jalan raya tiga tahun lepas, Intan Izzlyanie Abd Hamid berusaha bangkit untuk menamatkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan Anugerah Graduan Kelas Pertama.
Graduan berusia 24 tahun itu menerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling pada Majlis Konvokesyen UPM ke-48 Sidang 2 yang berlangsung hari ini.
Berkongsi kisahnya, Intan Izzlyanie berkata ayahnya Abd Hamid Osman sentiasa memberikan galakan untuk dia cemerlang dalam pelajaran hingga berjaya mendapat Anugerah Kepujian Dekan ketika semester satu dan dua pengajian.
Justeru, dia berkata kemalangan kereta yang meragut nyawa bapanya pada 2021 memberikan kesan amat mendalam dalam hidupnya.
“Waktu itu saya berada dalam fasa kemurungan yang amat teruk hingga saya hilang semangat untuk belajar. Penyokong nombor satu saya dah tiada, jadi kenapa saya perlu belajar?
“Saya lemah sangat pada waktu itu, saya tidak mahu bergaul, bercakap mahupun keluar bilik,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan UPM selepas majlis konvokesyen itu.
Intan Izzlyanie berkata dia kembali bersemangat setelah ibunya mengingatkan tentang segala usaha arwah ayah ketika hayatnya.
“Saya tak nak sia-siakan usaha abah...jadi, saya terpaksa merubah cara pemikiran saya kepada yang lebih positif supaya saya dapat menjadi graduan kelas pertama,” kata anak ketiga daripada empat adik beradik itu.
Intan Izzlyanie berkata kejayaannya hari ini adalah hadiah terbesar yang mampu diberikan buat arwah ayahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial