SHAH ALAM, 9 Dis (Bernama) -- Pemenang Program Pemecut Selangor 2024 (SAP24) melakukan dua lawatan inovasi antarabangsa secara serentak ke Filipina dan Vietnam dari 10 hingga 17 Nov, menekankan komitmen Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) untuk memupuk kerjasama global dan pemerkasaan syarikat pemula.
Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping berkata pemenang SAP24 yang terdiri daripada syarikat pemula tempatan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan kumpulan Filipina melawat Minggu Syarikat Pemula PH manakala kumpulan Vietnam ke Sidang Kemuncak Inovasi negara berkenaan.
"Di Filipina, pemenang SAP24, iaitu Shieldbase, Alphaswift, V-Cred dan Home Sifu mendalami ekosistem teknologi negara itu yang berkembang pesat, dengan memberi tumpuan kepada aplikasi kecerdasan buatan (AI) merentasi industri, seperti kewangan, logistik dan penjagaan kesihatan.
"Sementara itu, satu lagi kumpulan pemenang SAP24, Qarbotech, Atoz Carbon Cycle, Zoala dan Vidanex memulakan program yang memberi tumpuan kepada kelestarian dan inovasi di Vietnam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Yong berkata kedua-dua negara dipilih secara strategik untuk menawarkan peluang yang pelbagai kepada pemenang SAP24 kerana Filipina merupakan pasaran sedang berkembang untuk inovasi berasaskan AI, terutamanya dalam teknologi kewangan, penjagaan kesihatan, dan logistik.
Beliau berkata Vietnam pula menyediakan persekitaran yang baik untuk syarikat pemula yang memberi tumpuan kepada kelestarian, dengan permintaan semakin meningkat untuk penyelesaian bioteknologi, agroteknologi dan tenaga boleh baharu (RE).
"Tumpuan utama termasuk penyertaan dalam Minggu Syarikat Pemula PH ... syarikat pemula dihubungkan dengan pelabur, rakan kongsi dan pemimpin industri antarabangsa. Kemuncak lawatan adalah pada Demo Day, di The Astbury, Makati pada 15 Nov. Syarikat pemula SAP24 memukau penonton terpilih yang terdiri daripada pelabur dan pemain industri menerusi inovasi mereka.
"Selain itu, sesi padanan perniagaan pada 14 Nov menghubungkan syarikat pemula SAP24 dengan 56 pihak berkepentingan utama termasuk syarikat, syarikat pemula dan pelabur. Pertemuan yang direka khusus itu memudahkan perbincangan bermakna, membolehkan syarikat pemula membentangkan penyelesaian inovatif mereka dan meneroka peluang kerjasama," katanya.
Yong berkata semasa Sidang Kemuncak Inovasi Vietnam, Qarbotech dengan bangganya mewakili Malaysia dalam International Track of the Startups Showcase dan menyerlah dalam kalangan pesaing dari lima negara serta merangkul Anugerah Syarikat Pemula Terbaik atas penyelesaian inovatif dan sumbangan bermakna kepada ekosistem inovasi global.
Beliau berkata syarikat pemula juga menyertai program DEX Connex yang dianjurkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), menghubungkan lebih 30 syarikat pemula Malaysia dengan syarikat-syarikat terkemuka Vietnam termasuk FPT, TMA Solutions dan Vietcombank, melalui sesi rangkaian.
"Lawatan ke Vietnam juga merangkumi kunjungan ke Zon Syarikat Pemula Vietnam dan hab inovasi lain, memberikan pemahaman mengenai ekosistem syarikat pemula negara itu yang dinamik dan memupuk kerjasama bermakna," katanya.
Sejak penubuhan Program Pemecut Selangor, ia telah menyokong lebih 200 syarikat pemula, dengan 41 peratus berjaya memperoleh pembiayaan dan 79 peratus mendapat pendedahan antarabangsa. Peserta SAP24 mencerminkan misi program ini bertujuan membekalkan syarikat pemula dengan cara untuk berkembang dan berjaya di pasaran antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial