KUALA NERUS, 12 Dis (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyifatkan penganjuran enam siri Program Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) Bersama Siswa oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sepanjang tahun ini sebagai amat berjaya.
Beliau berkata penganjuran kesemua program HAWANA telah dilaksanakan dengan baik oleh Bernama, diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarangnya yang juga Pengarah Projek HAWANA 2024 Arul Rajoo Durar Raj.
“Saya sangat berbangga dengan pasukan di Bernama yang diketuai oleh Datin Paduka Nur-ul Afida dan Arul Rajoo yang telah mengemudi dengan baik, bukan hanya organisasi dalam Bernama itu sendiri, tetapi dalam program sempena HAWANA,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa di Zon Timur di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) siri akhir di sini hari ini, yang turut dihadiri Nur-ul Afida, Arul Rajoo dan Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Fadzli Adam.
Fahmi berkata penganjuran program jelajah 2024 yang melabuh tirainya pada hari ini bukan sahaja telah meningkatkan kesedaran mengenai aspek-aspek kewartawanan kepada pelajar, tetapi juga mendekatkan agensi seperti Bernama dan warga media lain kepada pelajar yang merupakan golongan pelapis dalam bidang kewartawanan.
Beliau berkata Kementerian Komunikasi sedang merangka cadangan untuk memperluaskan Program Jelajah HAWANA Bersama Siswa tahun hadapan ke peringkat politeknik, selain beberapa modul dalam program itu wajar diperkembangkan.
“Contohnya ramai yang bertanyakan isu seperti mengesahkan berita dan kesan AI (kecerdasan buatan) kepada dunia kewartawanan dan saya harap ada beberapa perkara yang kita boleh tambah baik untuk edisi tahun depan.
“Insya-Allah (perluas ke peringkat politeknik) dan saya nampak kita boleh bekerjasama dengan beberapa pihak lain,” katanya.
Sementara itu Fahmi berkata beliau juga berharap program itu yang telah menyantuni lebih 2,000 pelajar dan pensyarah di 16 universiti awam pada tahun ini, akan melibatkan lebih ramai peserta lagi pada tahun depan.
Beliau berkata pengisian program Jelajah HAWANA Bersama Siswa tahun depan juga perlu melibatkan lebih ramai pihak lagi termasuk ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Di situ kita nampak kita perlu bekerjasama dengan lebih ramai untuk menjadikan jumlah itu jauh lebih besar.
Salah satu cabaran besar kewartawan ialah media sosial, jadi mahu atau tidak - perkara-perkara seperti mobile journalism dan bagaimana hendak memanfaatkan media sosial dalam pelaporan perlu dipelajari.
“Jadi kita perlu penglibatan mungkin dalam kalangan akademik dan NGO. Mungkin pada sambutan Hari Wartawan Nasional sekitar bulan Mei ini (2025) kita akan dapat mulakan,” katanya.
Siri jelajah pada hari ini menyaksikan UniSZA, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Malaysia Kelantan, masing-masing menerima sumbangan berupa satu set komputer berkeupayaan tinggi dan satu set televisyen pintar.
Siri hari ini turut diisi dengan tiga bengkel interaktif yang relevan dengan dunia digital masa kini buat pelajar, iaitu sesi Mobile Journalism oleh wartawan Bernama, sesi Semakan Fakta oleh editor Bernama dan ceramah ‘Klik Dengan Bijak’ oleh pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial