PUTRAJAYA, 12 Dis (Bernama) -- Kaedah pengawasan 'lorong tikus' di sempadan Malaysia-Thailand akan dipertingkatkan dengan penggunaan teknologi baharu dan terkini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menjemput beberapa syarikat tempatan dan antarabangsa bagi melakukan pembuktian konsep (POC) mengenai teknologi dan kepakaran yang mereka ada.
“Sekarang ini, kecenderungan kita untuk mengawasi jalan tikus atau pintu masuk rasmi kita adalah dengan menggunakan teknologi semasa,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan KDN di sini hari ini.
Beliau berkata teknologi yang akan digunakan di sempadan akan diteliti dengan baik bagi memastikan keberkesanannya berada di tahap tinggi.
“Kita akan tengok hingga kita betul-betul puas hati, dalam erti kata mengawal keselamatan sempadan termasuklah keselamatan ataupun potensi ancaman melibatkan jalan tikus,” katanya.
Mengenai cadangan pembinaan tembok di sempadan Malaysia-Thailand, Saifuddin Nasution berkata kaedah itu akan membabitkan kos penyenggaraan yang mahal.
“Pagar ini, pertamanya ia melibatkan kos yang tinggi dan penyelenggaraannya juga mahal. Zaman berubah (ia) mungkin sesuai pada ketika itu,” katanya.
Media tempatan melaporkan sejumlah 281 lokasi lorong tikus dikenal pasti dalam kawasan tanggungjawab Pasukan Gerakan Am (PGA) yang digunakan bagi aktiviti jenayah rentas sempadan.
Daripada jumlah itu 154 berada di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand, dengan Kelantan merekodkan angka tertinggi iaitu 128 lorong tikus.
Selain Kelantan, jumlah lorong tikus mengikut negeri ialah lapan di Perlis, diikuti Kedah (18), Selangor (12), Johor (27), Sarawak (38) dan Sabah (50).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial