AM > BERITA

JUMLAH MANGSA BANJIR BERLINDUNG DI PPS DI PERAK, JOHOR DAN PAHANG PAGI INI KEKAL

14/12/2024 10:40 AM
Daripada Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak, Johor dan Pahang masih kekal setakat pagi ini.

Di PERAK, jumlah mangsa yang terjejas akibat bencana itu kekal dengan 186 individu melibatkan 57 keluarga di daerah Manjung setakat pukul 8 pagi ini, dan kesemua mereka ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Beruas, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak.

Pada masa sama, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan turut memaklumkan paras air Sungai Rui di daerah Hulu Perak berada pada tahap amaran iaitu setinggi 165.79 meter berbanding paras normal 165.10 meter.

Selain itu Sungai Plus yang berada dalam daerah Kuala Kangsar dan Sungai Bidor di kawasan Changkat Jong, masing-masing merekodkan bacaan pada tahap berjaga-jaga dengan kedalaman sekitar 54.09 meter (52.0 meter normal) serta 3.21 meter (2.0 meter normal).

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula meramalkan hujan berterusan dijangka di sekitar kawasan Hulu Perak hari ini.

Situasi banjir di JOHOR juga tidak menunjukkan perubahan dengan jumlah mangsa kekal 40 orang daripada 12 keluarga setakat pukul 8 pagi ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan kesemua mangsa terjejas akibat bencana itu masih ditempatkan di sebuah PPS iaitu Balai Raya Kampung Batu Badak di Segamat. 

"Selain itu hanya satu sungai di daerah Segamat dilaporkan melepasi paras amaran iaitu stesen Sungai Muar di Buloh Kasap dengan bacaan 8.85 meter," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata keadaan cuaca di sembilan daerah di Johor dijangka cerah, dan hanya Pontian diramalkan mendung pagi ini. 

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir kekal 41 orang daripada 12 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS melibatkan dua daerah terjejas iaitu Bera dan Maran.

Aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan 30 mangsa berada di PPS di Bera iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Gemuruh dan Balai Raya Kampung Seberang Guai, sementara 11 orang di PPS Balai Raya Kampung Baru Pertanian, Maran.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan