AM > BERITA

KPM Komited Jadikan Semua Sekolah Seluruh Negara Sekolah Digital

27/02/2025 06:32 PM

BATU PAHAT, 27 Feb (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) komited untuk menjadikan semua 10,237 sekolah di negara ini sebagai sekolah digital sekali gus melahirkan pelajar yang celik dan fasih menggunakan teknologi terkini.

Ketua Pengarahnya Azman Adnan berkata sasaran tersebut disokong dengan pencapaian 90 peratus akses penggunaan Inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital (DELIMa) oleh golongan pendidik dan keaktifan pelajar mengaplikaskan teknologi digital.

Beliau berkata ia juga berlandaskan enam teras strategik merangkumi Murid Fasih Digital, Pendidik Kompeten Digital, Budaya Kepimpinan Digital Berwawasan, Pengupayaan Infostruktur dan Infrastruktur, Kandungan Digital Berkualiti serta Rakan Strategik Yang Komited.

“Enam sekolah kini menjadi perintis dengan anjuran Yayasan Didik Negara (YDN) melibatkan lima di Sabah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Lapasan, SK Pengalat Kecil, SK Buang, SK Tansau dan SK Pekan Putatan serta SK Seri Telok, Batu Pahat di Johor. 

“Sebuah sekolah di Pulau Pinang iaitu SK Pulau Aman turut disarankan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek untuk menjadi sekolah digital ketika lawatan beliau,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran Sekolah Digital di SK Seri Telok di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azman berkata Batu Pahat merupakan daerah tertinggi di negara ini dalam penggunaan inisiatif DELIMa dengan 90 peratus adalah daripada golongan pendidik dan 45 peratus melibatkan pelajar.

Sementara itu, mengulas mengenai aktiviti jualan penjaja dan makanan ringan di depan sekolah, beliau berkata KPM akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memantau penjualan makanan yang boleh membahayakan pelajar.

Beliau berkata langkah berkenaan perlu dilakukan kerana KPM hanya bertanggungjawab terhadap makanan yang dijual di kantin sekolah selain tidak membenarkan aktiviti jualan dijalankan sekitar 40 meter dari kawasan sekolah.

“Kita juga percaya PBT melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mempunyai garis panduan sewajarnya untuk mengatasi aktiviti terbabit selain turut mengadakan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Di atas kesedaran ini pihak sekolah perlu memastikan pelajar hanya membeli makanan yang dijual di kantin bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti keracunan dan sebagainya,” katanya.

--BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan