KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- McDonald’s Malaysia mengukuhkan komitmen terhadap kelestarian alam sekitar menerusi pemeteraian Perjanjian Perkhidmatan Pengosongan Lemak, Minyak dan Gris (FOG) dengan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd untuk menyelenggara perangkap gris di hampir 300 restorannya di seluruh negara.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia Datuk Azmir Jaafar berkata pihaknya adalah restoran perkhidmatan pantas (QSR) pertama di Malaysia yang bekerjasama dengan IWK dalam inisiatif ini, menekankan kepentingan kerjasama berkenaan dalam meningkatkan kecekapan operasi dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.
“Ia memastikan pengurusan sisa yang betul sambil mengekalkan standard kebersihan tertinggi di restoran kami. Sebagai sebuah jenama yang melayani sembilan juta pelanggan setiap bulan, menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan operasi restoran bukan sahaja cekap tetapi juga lestari.
“Melalui kerjasama dengan IWK, kami mengambil langkah proaktif untuk mencegah pencemaran air, mengurangkan sisa dan menyumbang kepada matlamat kelestarian Malaysia,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Hijau McDonald’s Malaysia dan IWK di sini hari ini.
Azmir berkata kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan McDonald’s Malaysia terhadap pengurusan sisa yang bertanggungjawab, yang memberi manfaat kepada pelanggan dan alam sekitar.
Ketua Pegawai Eksekutif IWK Narendran Maniam berkata beliau berbesar hati kerana McDonald’s Malaysia telah menyertai usaha mereka dalam kelestarian alam sekitar, memperkukuh komitmen bersama untuk masa depan yang lebih bersih dan hijau.
“Penyelenggaraan perangkap gris yang betul penting untuk mengelakkan FOG daripada memasuki sistem pembetungan, mengurangkan masalah sumbat dan kerosakan alam sekitar.
“Melalui kerjasama ini, kami memastikan pengurusan sisa yang bertanggungjawab, menyumbang kepada sumber air yang lebih bersih dan alam sekitar yang lebih sihat, selaras misi IWK untuk pengurusan air buangan yang lestari,” katanya.
Selain penambahbaikan operasi, inisiatif ini juga menyokong pendekatan ekonomi kitaran dengan membolehkan penggunaan semula gris yang dikumpulkan untuk pengeluaran biodiesel dan biogas, memastikan sisa bukan sahaja diminimumkan tetapi juga diubah menjadi sumber yang bernilai.
Kerjasama ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan McDonald’s Malaysia untuk menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 17 dan meningkatkan kesedaran terhadap pengurusan sisa yang bertanggungjawab.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial