AM > BERITA

Kemalangan Trak FRU: Tiga Jenazah Anggota Fru Selamat Dikebumikan

14/05/2025 11:25 AM

IPOH, 14 Mei (Bernama) -- Tiga jenazah anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam pagi semalam, selamat dikebumikan awal pagi ini.

Jenazah Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang, di sini pada 4.50 pagi.

Pengebumian anggota FRU berusia 33 tahun itu turut dihadiri Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin serta kira-kira 100 orang terdiri daripada ahli keluarga serta sahabat handai.

Jenazah dikebumikan mengikut istiadat pengebumian kepahlawanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Noor Hisam menyerahkan Jalur Gemilang kepada ibu Allahyarham, Suriati Omar.

Sementara itu, jenazah Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, 46, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Meru, di sini, kira-kira pukul 5.08 pagi.

Van membawa jenazah Mohd Roslan tiba di tanah perkuburan berkenaan pada 4.43 pagi.

Allahyarham yang berasal dari Jengka, Pahang meninggalkan isteri Nur Aini Samiun, 44, serta tiga cahaya mata iaitu Muhammad Raqin Najmi Mohd Roslan, 13, Muhammad Rizqi Nazhan, 9, serta Nur Aqeela Rawida, 6.

Jenazah Koperal Amiruddin Zabri, 38, pula dibawa ke rumahnya di Kampung Sungai Itek di Gopeng sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tubong selepas subuh tadi.

Dalam pada itu, jenazah Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28, dibawa balik ke kediamannya di Lunas, Kedah dan dijangka dikebumikan pada 10 pagi ini.

Jasad Koperal Nurit Ak Pandak, 34, dan Sarjan S. Perumal, 44, masing-masing akan disemadikan di Kampung Batu Berangkai, Kampar pada 11 pagi dan Krematorium Buntong petang ini.

Terdahulu, sembilan jenazah dan jasad anggota FRU yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Teluk Intan pagi Selasa selesai diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi PDRM di FRU Unit 5, Sungai Senam, di sini pada 3.46 pagi. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan