AM > BERITA

Guru Perlu Manfaat Teknologi Digital Selaras Keperluan Semasa - Fahmi

01/11/2025 01:29 PM

KUALA PILAH, 1 Nov (Bernama) -- Guru dinasihatkan supaya memanfaatkan teknologi digital seperti platform pembelajaran maya, kecerdasan buatan (AI), aplikasi interaktif dan sumber digital terbuka dalam usaha menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran lebih menyeronokkan serta bersesuaian keperluan semasa.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata golongan pendidik hari ini bukan sekadar mencurahkan ilmu, tetapi sebagai arkitek pembelajaran digital yang membimbing murid ke arah pembelajaran kendiri dan kreatif.

“Pelajar pula perlu celik teknologi, berfikiran kritikal dan beretika dalam penggunaan siber dan kebolehan mereka menyesuaikan diri dengan teknologi baharu akan menjadi aset penting kepada masa depan negara,” katanya dalam ucapan di Karnival Digital Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Pilah, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur dan Komunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran yang merasmikan majlis tersebut bagi pihak Fahmi.

Menurut Fahmi, meskipun dunia digital menawarkan pelbagai manfaat khususnya dalam bidang pengajaran dan pembelajaran, masyarakat perlu berwaspada terhadap risiko dan cabaran yang wujud termasuk berkaitan Internet, AI dan keselamatan siber.

“Sehubungan itu, Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melancarkan Kempen Internet Selamat pertengahan Januari lepas bagi memperkasakan tahap literasi awam mengenai keselamatan dalam talian serta melindungi diri daripada ancaman siber,” katanya.

Beliau berkata perkara utama ditekankan dalam kempen itu ialah larangan kanak-kanak bawah umur 13 tahun memiliki akaun media sosial manakala mereka yang berumur 13 tahun ke atas, penggunaan perlu dijalankan dengan bertanggungjawab dan berhemah.

Bagaimanapun, Fahmi berkata berdasarkan perkembangan terkini, kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan menaikkan had umur minimum penggunaan media sosial kepada 16 tahun bagi memastikan keselamatan dan membendung gejala sosial dalam kalangan kanak-kanak.

Mengenai karnival hari ini, beliau berkata ia bukan sekadar pertandingan atau pameran, tetapi pentas memastikan guru dan murid benar-benar dapat mengintegrasikan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan dan bermakna.

“Inisiatif dan semangat dipamerkan ini menunjukkan bahawa Kuala Pilah bukan sahaja menyahut seruan kerajaan, malah menjadi peneraju perubahan pendidikan digital di peringkat akar umbi,” katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan