AM > BERITA

Kerjasama Strategik Perkukuh Akses Penjagaan Kesihatan Luar Bandar - Fadillah

01/11/2025 02:54 PM

KUCHING, 1 Nov (Bernama) -- Kerjasama rapat antara sektor awam dan swasta amat penting dalam memperluas akses penjagaan kesihatan kepada masyarakat luar bandar, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkaya kerjasama sedemikian bukan sahaja dapat merapatkan jurang perkhidmatan kesihatan antara bandar dan luar bandar, malah memastikan setiap rakyat Malaysia, walau di mana jua berada, mendapat akses adil terhadap perkhidmatan kesihatan berkualiti.

Fadillah berkata sektor awam dan agensi kerajaan perlu memperkukuh ekosistem kesihatan digital, merangkumi aspek tadbir urus data, keselamatan siber, penyelidikan, inovasi dan infrastruktur.

“Jadikan kesihatan digital sebahagian daripada perkhidmatan awam dengan memastikan teleperubatan, kecerdasan buatan (AI) dan sistem data disepadukan sepenuhnya dalam kerangka penjagaan kesihatan kebangsaan.

“Golongan profesional penjagaan kesihatan dan pemain industri perlu menerima serta memperjuangkan inovasi bagi menjadikan sistem penjagaan kesihatan lebih pantas, inklusif dan cekap, menggunakan teknologi untuk menjangkau lebih ramai pesakit, mengurangkan masa menunggu serta meningkatkan kualiti rawatan di kawasan bandar dan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Dua Inisiatif Baharu Penjagaan Kesihatan Digital oleh CelcomDigi dan Hospital Pengajar UNIMAS di sini hari ini.

Sementara itu, Fadillah berkata sektor penjagaan kesihatan sentiasa menjadi tonggak utama pembangunan negara dan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) menyeru pelaksanaan pembaharuan bagi memastikan akses saksama terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti dan mampu milik.

Beliau berkata lebih RM40 bilion telah diperuntukkan bagi tempoh 2026 hingga 2030, dengan tumpuan kepada pengembangan perkhidmatan perubatan, penambahbaikan fasiliti kesihatan awam serta memacu transformasi digital.

“Baru-baru ini, di bawah Belanjawan 2026, kerajaan telah memperuntukkan RM46.5 bilion kepada Kementerian Kesihatan, jumlah terbesar dalam sejarah negara dengan penekanan terhadap pendigitalan perkhidmatan kesihatan, penambahbaikan fasiliti luar bandar dan pengukuhan infrastruktur perubatan di seluruh negara.

“Usaha ini mempunyai satu matlamat, iaitu memastikan setiap rakyat Malaysia dari Kuala Lumpur hingga Kapit, mendapat akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti pada bila-bila masa dan di mana jua mereka berada,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan