AM > BERITA

Perjanjian Perdagangan Timbal Balas: Memahami Pilihan Berdaulat Malaysia

01/11/2025 03:08 PM

Oleh Pengerusi ISIS Malaysia Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Perdebatan berasaskan andaian yang salah mungkin pada asasnya kelihatan tampak benar namun apabila diteliti dengan lebih mendalam, ternyata ia tidak berasas sama sekali.

Perkara sama turut terpakai terhadap pelbagai kritikan daripada pihak tertentu terhadap Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang baru-baru ini dimeterai antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).

Kritikan terhadap perjanjian itu, menggambarkan seolah-olah Malaysia menjadi proksi kepada Amerika, terikat dengan tuntutan merkantilisme AS dan berada pada ambang menyerahkan kedaulatan ekonomi serta politik. 

 

Penetapan minda yang terkurung 

 

Jika diteliti, masih wujud minda yang terkurung dalam pemikiran kolot, sukar menerima hakikat bahawa Malaysia mempunyai keupayaan untuk bertindak dengan keyakinan dan pendirian sendiri di pentas antarabangsa.

Tafsiran statut dan kontraktual dalam perjanjian perdagangan bukanlah satu bidang yang mempunyai ketepatan mutlak, namun melancarkan serangan habis-habisan terhadap perjanjian perdagangan berdasarkan tafsiran sempit adalah umpama menjerat diri sendiri dengan kekeliruan logik serta prasangka peribadi.

Ahli undang-undang Amerika Oliver Wendell Holmes pernah berkata bahawa “the life of the law has not been logic: it has been experience.” Namun, apabila sesuatu hujah dikemukakan berdasarkan menelaah dokumen undang-undang, prinsip asas mesti diguna pakai, iaitu hujah perlu berasaskan fakta dan disokong oleh alasan yang logik.

Sebagai respons umum terhadap pandangan golongan yang ragu-ragu dan sinis, boleh dikatakan mereka berhujah tanpa pengetahuan yang mendalam dan sekadar argumentum ad ignorantiam - kejahilan mengatasi fakta, dan kedangkalan pemikiran kritikal membawa kepada kegagalan berfikir secara rasional.

Mari kita menyelesaikan perbalahan dan dakwaan yang berlebih-lebihan mengikut tertibnya. Pertama, berkaitan Artikel 5.1(1) dan dakwaan kononnya Malaysia “menempah maut” terhadap kedaulatan.

Klausa ini agak panjang, ibarat kata-kata Shakespeare “bunuh semua peguam”, maka secara ringkasnya ia bermaksud: jika AS mengenakan duti kastam terhadap negara lain bagi melindungi kepentingan ekonomi atau keselamatan negara.

Justeru itu Malaysia akan melakukan perkara sama atau bersetuju dengan tempoh pelaksanaan diterima kedua-dua pihak, berlandaskan prinsip niat baik dan komitmen bersama untuk memperkukuh hubungan dua hala.

Pengkritik mendakwa peruntukan itu bersifat mandatori dan mewajibkan Malaysia mengikut kehendak AS, yang kononnya andai Amerika menyuruh “melompat”, kita perlu menuruti suruhan itu.

Ini tidak masuk akal dan tanggapan yang salah dari segi undang-undang. Dalam perdagangan antarabangsa, penggunaan bahasa seperti itu untuk mewujudkan mekanisme penjajaran perundingan yang bergantung kepada persetujuan bersama, ia bukan merujuk kepada arahan atau suruhan. Tidak wujud unsur pemaksaan.

Tempoh garis masa boleh dipersetujui bersama begitu juga merujuk kepada kepentingan bersama ekonomi atau keselamatan negara jelas menunjukkan bahawa perkara ini tertakluk kepada budi bicara dan kedaulatan. Renungkan betapa tidak meyakinkan dakwaan berkenaan.

Jika menerima pakai interpretasi berkenaan, maka setiap perjanjian berdaulat yang mengandungi peruntukan rundingan akan dianggap “mengalah”. Seandainya, tafsiran ini digunakan sebagai panduan, penyertaan Malaysia dalam ASEAN, RCEP dan WTO juga bermakna “penyerahan”.

Kedua, dakwaan bahawa Malaysia akan bertindak sebagai pelaksana sekatan AS berdasarkan Artikel 5.2 yang berkaitan kawalan eksport dan sekatan.

Secara ringkasan, klausa itu menyatakan bahawa Malaysia melalui proses pengawalseliaan domestiknya akan bekerjasama dengan AS bagi mengawal perdagangan dalam teknologi dan barangan sensitif keselamatan negara melalui rejim kawalan sedia ada, menyelaras dengan kawalan eksport unilateral AS yang sedang berkuat kuasa, dan memastikan syarikat tempatan tidak menjejaskan atau melemahkan kawalan berkenaan.

Kritikan keras mengatakan klausa itu memaksa Malaysia meminda undang-undangnya mengikut kehendak AS. Namun,tafsiran ini dilihat tersasar kerana frasa “melalui proses kawal selia domestiknya” bermaksud perkara berkenaan dispositif dan undang-undang domestik tetap paling utama.

Apabila sesuatu kerjasama tertakluk kepada proses undang-undang domestik, ia bukan satu bentuk pemaksaan. Memang kedengaran sensasi, malah kelihatan seolah-olah sungguh berani, apabila seseorang berdiri di puncak bukit dan melaungkan “kita tidak akan menyerah atau menjadi proksi Amerika”.

Namun, apabila kita menyingkap retorik dan meneliti apa yang tertulis dalam teks, akhirnya mungkin kita sendiri kelihatan seperti “the fool on the hill!”. Sesiapa yang membaca teks berkenaan akan segera menyedari bahawa Malaysia tetap mengekalkan penapisan kedaulatan dan budi bicara. 

Dakwaan Malaysia bertindak sebagai proksi tenggelam apabila penelitian dibuat berdasarkan teks sebenar. Segala cakap-cakap lenyap sekelip mata.

Ketiga, dakwaan bahawa AS memperoleh kuasa veto terhadap rakan dagang Malaysia menerusi Artikel 3.3 mengenai Perjanjian Perdagangan Digital yang menyatakan Malaysia perlu berunding sebelum menandatangani perjanjian perdagangan digital baharu dengan negara lain yang mungkin menjejaskan kepentingan penting AS.

Memang benar wujud kewajipan untuk berunding, tetapi rundingan bukan bermakna bersetuju. Konsep ini tidak wajar dipandang remeh, dan kita tidak boleh beranggapan bahawa hujah kita telah memadai, namun apa yang bolah saya katakan: peruntukan itu tidak mewajibkan Malaysia untuk bersetuju atau mengikut nasihat yang diberikan semasa rundingan.

Malaysia telah memenuhi tanggungjawab dengan terlibat dalam proses mendapatkan pandangan dan pendapat. Undang-undang perjanjian menetapkan garis pemisah yang jelas antara rundingan dan kelulusan. Klausa berkenaan tidak menetapkan kewajipan untuk mematuhi, apatah lagi memberi kuasa veto. Malaysia tetap mempunyai kuasa sepenuhnya urusan kedaulatan dan perjanjian.

Keempat, mengenai dakwaan bahawa Malaysia akan dipaksa menyasarkan syarikat yang berkaitan China, Rusia atau negara lain yang tidak sealiran dengan Washington berdasarkan Artikel 5.1(2)  menyatakan  Malaysia hendaklah melaksanakan langkah bagi menangani amalan tidak adil oleh syarikat milik negara ketiga yang beroperasi di Malaysia, selaras dengan undang-undang tempatan.

Ia sebenarnya prinsip yang baik kerana menekankan pengaturan perdagangan berasaskan peraturan yang adil. Lagipun, Malaysia sudah pun mempunyai protokol seumpama itu yang mengawal selia kegiatan ekonomi melalui undang-undang persaingan, kastam dan perdagangan saksama.

Pengkritik perlu jelas dengan pendirian mereka. Adakah mereka mahu atau tidak amalan pasaran yang adil? Klausa ini sebenarnya selaras dengan pendirian pihak yang menyokong perdagangan bebas dan adil.

Namun, dalam mengejar khayalan sasaran geopolitik, langkah mereka akhirnya tersasar. Hakikatnya, Malaysia tetap mempunyai keistimewaan kedaulatan sepenuhnya untuk menentukan bagaimana, bila dan dan sama ada perlu bertindak, termasuk melalui instrumen undang-undang yang sesuai.

Akhir sekali, terdapat dakwaan mengenai risiko mengetepikan China dan rakan-rakan dalam kumpulan BRICS, yang kononnya boleh menyebabkan kita kehilangan sifat berkecuali. Ini sebenarnya non sequitur. 

Bagaimana dengan menjauhkan diri dari China dan BRICS boleh dianggap sebagai hilang pendirian berkecuali? Sebaliknya, ia mengukuhkan lagi keberkecualian.

Secara logik itulah kesannya, namun ini hanya perbahasan akademik. Sebenarnya, isu ini tidak timbul kerana hubungan dengan China dan BRICS kini lebih kukuh berbanding sebelumnya.

Malah, hubungan itu begitu rapat sehingga Malaysia pernah dikritik kerana dikatakan terlalu cenderung ke arah China dan “menggadaikan kedaulatan negara” demi keuntungan jangka pendek.

Komitmen berterusan Malaysia untuk terus bekerjasama dengan China sama sekali tidak terjejas atau berkurangan akibat hubungan konstruktif dengan AS. Begitu juga AS, Eropah, Jepun dan India tidak menjangkakan Malaysia mengetepikan rakan-rakan stategik sejak sekaian lama. 

Ini bukan kaedah pemikiran abad ke-21. Sebaliknya, ia mencerminkan pemikiran era perang dingin yang sudah tidak lagi relevan dalam dunia multipolar masa kini.

Tidak dinafikan kepentinngan mempunyai hubungan yang akrab, dan andaian bahawa Malaysia tidak boleh memperkukuh hubungan dengan satu kuasa ekonomi utama tanpa kehilangan sokongan daripada yang lain dilihat sebagai pandangan yang terlalu “romantis” dalam konteks diplomasi, seolah-olah hubungan antarabangsa adalah persaingan yang berebut perhatian. 

Rakan-rakan memahami Malaysia menghargai keseimbangan dan keterbukaan, bukannya berpihak kepada mana-mana kuasa.

Sikap berkecuali bukan bererti ketiadaan hubungan, sebaliknya menunjukkan kewujudan pelbagai hubungan. Itulah yang disebut sebagai keupayaan strategik pelbagai hala yang dijalankan melalui dasar berkecuali.

 

Tiada apa perlu ditakuti 

 

Perlu dijelaskan bahawa Malaysia tidak pernah menukar ganti kedaulatannya demi kesenangan atau kemudahan. Kita tidak pernah berbuat demikian, dan juga tidak akan melakukannya sekarang.

Tambahan pula, apa yang disalah tafsir sama ada secara sengaja atau kerana kejahilan, sebenarnya amalan berterusan dalam tataurus negara negara. 

Tiada apa yang perlu ditakuti selain ketakutan itu pada diri sendiri. Negara yang matang berani berunding, berbincang dan membina kerjasama tanpa rasa takut ia akan menjejaskan identiti.

Menganggap Malaysia hilang kemerdekaan setiap kali bekerjasama dengan pihak lain menunjukkan kurangnya pemahaman terhadap asas diplomasi dan maknanya.

Apabila norma global selaras dengan kepentingan dan tindakan. Kita memilih haluan sendiri dalam isu berkaitan Iraq. Kita mengekalkan pendekatan tersendiri terhadap Laut China Selatan. Kita juga terus menjalin hubungan ekonomi kukuh dengan China, AS, negara-negara Teluk, Eropah dan lain-lain. 

Apa yang lebih utama, Malaysia kekal teguh dengan pendirian terhadap isu Palestin, dengan terus mengecam sekeras-kerasnya genosid yang berlaku di Gaza.

Adakah ini ciri-ciri sebuah negara yang menunggu arahan? Adakah menandatangani perjanjian perdagangan ini akan mengubah pendirian Malaysia sebagai sebuah negara yang yakin dengan kebijaksanaan sendiri dan selesa dengan pendekatan multilateral? Apa jua pandangan sinis yang dilemparkan, jawapannya jelas, yakni tidak sama sekali.

Kedaulatan bukan diukur melalui penolakan tanpa pertimbangan, dan bukan juga terhakis melalui persetujuan terpilih. Kedaulatan terletak pada kebebasan untuk memilih dan kematangan menggunakan kebebasan dengan bijaksana.

Menggambarkan Malaysia sebagai negara yang mudah tunduk kepada tekanan asing bermakna menafikan dasar luar yang konsisten yang menjadi amalan selama berdekad. 

Disiplin yang goyah menyebabkan munculnya pelbagai ketakutan. Pengkritik sering menggambarkan bayangan sabotaj dan persekongkolan global, seolah-olah kerjasama mengundang bahaya. 

Ia mungkin mencetuskan drama, namun sesebuah negara berdaulat tidak membentuk dasar berdasarkan ketakutan seperti dalam filem. Kita sentiasa berwaspada terhadap risiko dan tidak pernah mencampuradukkan imaginasi dengan kenyataan. Tiada sebarang peruntukan dalam perjanjian ini yang mewajibkan Malaysia mengambil tindakan punitif hanya kerana negara lain berbuat demikian.

Menafikan perkara sebaliknya bermakna menolak teks sebenar dan terjerumus dalam andaian tanpa asas. Kerajaan ini telah menjelaskan tafsiran yang matang tentang konsep kedaulatan, seperti yang sering ditekankan oleh Perdana Menteri bahawa kedaulatan pada masa kini bukanlah pengasingan.

Kedaulatan ialah keupayaan untuk melindungi kepentingan negara melalui penglibatan yang aktif sambil mengekalkan kebebasan untuk mengatakan tidak apabila perlu. Ia bukan diukur melalui sekuat mana kita melaungkan kemerdekaan, tetapi melalui keupayaan untuk melaksanakannya dengan bijak dan tenang dalam dunia yang saling bergantung.

Tradisi berkecuali Malaysia tidak pernah menjadi doktrin untuk menjauhkan diri, sebaliknya ia disiplin dalam melibatkan diri tanpa tunduk, bersikap pragmatik tanpa takut, serta membina kerjasama tanpa mengorbankan jati diri.

Tradisi itu kekal hingga hari ini. ART juga tidak menolak prinsip itu,  malah mengukuhkan lagi. Malaysia sentiasa memilih rakan kerjasama berdasarkan kepentingan negara, dan akan terus berbuat demikian.

Sebaliknya, mereka yang berpendapat sedemikian umpama melihat bayang-bayang dan ancaman yang tidak wujud, serta memperlihatkan sikap meninggikan diri akibat kegagalan membebaskan pemikiran daripada belenggu penetapan minda kolonial.

Orang lain mungkin terus bersuara lantang dan menuding jari, namun Malaysia tetap menentukan haluan dan pendirian sendiri, tanpa membiarkan orang lain mentafsir kedudukan kita berdasarkan kebimbangan atau andaian. 

Malaysia berpegang teguh pada prinsip, mengekalkan keseimbangan strategik dan memperjuangkan kepentingan negara melalui diplomasi proaktif, bukan dengan memencilkan diri.

Dalam rantau yang menyaksikan persaingan kuasa besar demi kepentingan masing-masing, Malaysia tidak pernah bertahan dengan bersembunyi. Kita terus maju dengan berdiri teguh, berinteraksi dan membuat keputusan sendiri. Itu bukan bermakna penyerahan kedaulatan, sebaliknya ia manifestasi sebenar kedaulatan itu sendiri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan