AM > BERITA

Hala Tuju Pembinaan Negara Bangsa Diperkenal Tahun Depan

01/11/2025 05:34 PM

KANGAR, 1 Nov (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara akan memperkenalkan hala tuju baharu, iaitu Pembinaan Negara Bangsa mulai tahun depan selaras dengan mandat yang di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menteri berkenaan Datuk Aaron Ago Dagang berkata penekanan utama diberikan kepada usaha membina sebuah Negara Bangsa yang berdaulat, bermaruah dan utuh demi menjamin keharmonian, keamanan serta kestabilan negara. 

"Sejajar dengan itu, perpaduan negara yang berpaksikan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara akan terus dijadikan asas dalam memperkukuh identiti kebangsaan.

"Dalam konteks Malaysia, konsep Negara Bangsa tidak boleh ditafsir secara sempit sebagai “satu kaum, satu budaya”. Sebaliknya, Negara Bangsa Malaysia terbentuk daripada rakyat yang datang daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan bahasa, namun bersatu di bawah satu identiti nasional yang dikongsi bersama. 

"Inilah identiti yang menjadi teras kepada perpaduan, kesejahteraan dan keharmonian negara," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Fiesta Uniti @ Muzium Kota Kayang dan Rumah Hijau, iaitu Rumah Keputeraan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Muzium Kota Kayang, Kuala Perlis di sini hari ini.Majlis perasmian itu disempurnakan Tuanku Syed Sirajuddin dan turut berangkat hadir Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Sehubungan dengan itu, Aaron berkata muzium antara wadah penting dalam usaha membina Negara Bangsa, yang muzium tidak lagi boleh dilihat hanya sebagai pusat penyimpanan artifak atau dokumen sejarah tetapi perlu berperanan sebagai institusi pendidikan kebangsaan yang hidup dan relevan kepada masyarakat.

"Dalam konteks ini, muzium juga harus tampil sebagai platform dialog antara generasi dan budaya, yang mempertemukan kepelbagaian pengalaman rakyat Malaysia di bawah satu payung identiti nasional.

"Peranan ini amat penting bagi memastikan sejarah bukan sekadar dikenang, tetapi dihayati dan dijadikan panduan dalam membina masa depan yang lebih bersatu dan progresif," katanya.

Beliau berkata melalui usaha berterusan untuk memperkasakan fungsi muzium sebagai institusi ilmu, warisan dan perpaduan, ia bukan sahaja melestarikan sejarah bangsa tetapi turut menyemai semangat patriotisme dan kebanggaan nasional dalam setiap jiwa rakyat Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan