Daripada Nor Baizura Basri
GYEONGJU (Korea Selatan), 1 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi amaran bahawa kemajuan AI tidak boleh menganggu prinsip moral dan alam sekitar di sebalik Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) giat mempromosikan kecerdasan buatan (AI) dan transformasi teknologi untuk memajukan pembangunan,
Berucap pada hari terakhir Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) di sini, Perdana Menteri berkata Malaysia juga mempromosikan AI dan semikonduktor dengan cara yang agresif kerana teknologi berkenaan mempunyai kuasa untuk meningkatkan tamadun.
"Lebih setengah abad yang lalu, ahli falsafah Jerman Martin Heidegger mengingatkan kita bahawa intipati teknologi bukanlah terletak pada mesin yang kita bina, tetapi bagaimana teknologi membentuk semula pemikiran, tingkah laku dan tujuan kita. Ini relevan pada hari ini.
"Beliau memberi amaran bahawa sama ada kita meraikan teknologi atau menolaknya, kita berisiko menjadi tidak bebas dan terikat dengannya. Wawasan ini sangat relevan pada hari ini, dan saya percaya, (untuk kita) kekal sebagai manusia, isu ini harus ditangani dan APEC mesti menerajui," katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa negara anggota APEC harus mengambil perhatian terhadap kebolehcapaian dan jurang digital mereka bagi memastikan tiada amalan diskriminasi dari segi penggunaan teknologi baharu.
"Kami menyokong penggunaan AI untuk meningkatkan pengetahuan, mempercepat inovasi, mengembangkan peluang dan meningkatkan masyarakat. Kami mengalu-alukan pelaburan pusat data, pembinaan kapasiti digital dan janji pekerjaan baharu serta industri baharu," kata Anwar.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata APEC kini membina infrastruktur untuk ekonomi yang didayakan AI, ia juga harus sepadan dengan cita-cita itu dengan komitmen terhadap tenaga boleh baharu, kemampanan dan pengawasan yang bertanggungjawab.
Pertumbuhan pusat data, sebagai contoh, mesti bergerak seiring dengan agenda hijau dan kewajipan untuk melindungi kesejahteraan generasi akan datang, katanya.
"Tuan Pengerusi, matlamat kita bukanlah dunia, mesin menentukan nasib kita. Matlamat kita adalah masa depan di mana AI meningkatkan kreativiti manusia, memperkasakan komuniti dan menyemarakkan semangat manusia," kata Anwar.
Terdahulu, Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung menegaskan bahawa meskipun terdapat rintangan global semasa, APEC kekal sebagai platform penting untuk dialog, kepercayaan dan kemajuan kolektif.
"Perjalanan pada masa depan bukanlah mudah, tetapi saya percaya bahawa dalam sejarah APEC kita dapat menemui jawapan untuk mengatasi kesukaran hari ini. Kerjasama dan solidariti adalah jalan terbaik ke arah masa depan lebih baik,” kata Lee yang mempengerusikan mesyuarat dua hari itu.
AELM 2025 diadakan di bawah tema "Membina Masa Depan yang Mampan: Berhubung, Berinovasi, Makmur", mencerminkan komitmen forum untuk merealisasikan matlamat yang sejajar dengan Wawasan Putrajaya 2040 dan memastikan peralihan teknologi dan demografi diterjemahkan kepada pertumbuhan inklusif.
Mesyuarat dua hari itu berlangsung sehingga Sabtu dengan perbincangan dijangka tertumpu pada perdagangan dan pelaburan, kerjasama AI dan digital, perubahan demografi dan strategi untuk membina Asia-Pasifik yang bersedia untuk masa depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial