KOTA TINGGI, 1 Nov (Bernama) -- Lebih 150 nelayan termasuk komuniti Orang Asli di sepanjang hulu Sungai Johor memohon bantuan segera susulan pencemaran lumpur yang dikesan sejak pagi semalam, yang memusnahkan hasil tangkapan dan menjejaskan sumber pendapatan mereka.
Tok Batin Kampung Orang Asli Sayong Pinang Majid Jantan berkata air sungai itu didapati keruh sekitar 7 pagi susulan insiden kolam cucian pasir yang pecah di sebuah kawasan perlombongan pasir darat di Kota Tinggi.
“Saya sangat kecewa kerana anak buah saya tidak dapat turun ke sungai untuk mencari rezeki dan kali ini memang pencemaran paling teruk hingga banyak ikan yang mati, penuh di tepi sungai.
“Bila air dah jadi keruh begini memang sangat memberi kesan kepada kami...tidak tahu bila situasi ini akan pulih,” katanya ketika ditemui di lokasi yang tercemar di sini hari ini.
Majid turut berharap kerajaan dan agensi berkaitan dapat menyalurkan bantuan segera kepada komuniti Orang Asli yang terjejas.
Sementara itu, Pengerusi Jaringan Perikanan Daerah Kota Tinggi bagi Masyarakat Orang Asli merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Orang Asli Sayong Pinang Jasni Amat berkata pencemaran itu menjejaskan pendapatan nelayan yang bergantung sepenuhnya kepada sumber sungai.
“Saya harap pihak kerajaan boleh mengambil tindakan sewajarnya kerana Sungai Johor ini nadi utama rakyat Johor. Setiap kali pencemaran berlaku, nelayan berdepan risiko kerana sungai mengambil masa lima hingga enam bulan malah bertahun untuk pulih,” katanya.
Beliau berkata syarikat terlibat wajar melaksanakan program tanggungjawab sosial (CSR) termasuk mengeluarkan benih ikan bagi membolehkan nelayan kembali mencari rezeki di sungai.
Jasni turut memohon supaya kerajaan mempertimbangkan bantuan bakul makanan atau sumbangan kewangan kerana nelayan tidak mampu mencari rezeki dalam tempoh pemulihan sungai itu.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh dalam kenyataan berkata kekeruhan air mentah di Lembangan Sungai Johor mencatat peningkatan luar biasa hingga 37,400 Nephelometric Turbidity Unit (NTU) berbanding paras normal sekitar 400 NTU.
Mohamad Fazli berkata kejadian itu berpunca daripada pergerakan tanah yang menyebabkan kolam cucian pasir keenam milik sebuah syarikat tempatan pecah lalu mencemari aliran Sungai Johor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial