AM > BERITA

Graduan Cemerlang UPM Sarawak Sifatkan Ilmu Pertanian Didik Generasi Muda Hargai Rezeki

01/11/2025 10:23 PM

BINTULU, 1 Nov (Bernama) -- Penerima  Pingat Emas Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Bintulu Port Holdings Berhad (Kategori Diploma) pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-49, Wan Irfan Hakim Wan Ismail, 21, yang berasal dari Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan mengakui ilmu pertanian membentuknya menjadi insan yang lebih menghargai rezeki.

Ditemui pada majlis graduasi di UPM Sarawak (UPMS) di sini, hari ini, Wan Irfan Hakim yang merupakan graduan Diploma Perniagaantani berkata pengiktirafan berkenaan adalah hasil usaha, doa dan pengorbanan sepanjang tempoh pengajian, sambil menegaskan bahawa kejayaan tidak datang tanpa kesungguhan dan disiplin.

“Saya percaya setiap perjalanan manis datang daripada pengorbanan dan keyakinan bahawa usaha tidak akan menghampakan,” katanya.

Sepanjang pengajian, beliau memastikan keseimbangan antara kecemerlangan akademik serta penyertaan aktif aktiviti kokurikulum dengan antara pencapaiannya ialah muncul johan Syarahan Agama iFest Antarabangsa 2023, mewakili Malaysia ke Brunei Darussalam, serta menjuarai pertandingan Da’i Muda di Jakarta, Indonesia.

“Saya amat berterima kasih kepada ibu bapa saya, Zarini Che Daud dan Wan Ismail Wan Mahmod, serta barisan pensyarah UPMS yang sentiasa menjadi pendorong utama dalam perjalanan ini,” katanya yang berpandangan bidang pertanian bukan sekadar ilmu tentang tanaman, tetapi juga ilmu kehidupan yang mendidik tentang kesabaran, ketekunan dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.

Menurut beliau, bidang itu mengajarnya untuk menghargai rezeki, memahami nilai kerja keras para petani dan menyedari bahawa setiap makanan di meja adalah hasil jerih payah insan yang bersungguh. 

Beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap program pengajian di UPMS yang memberi kefahaman mendalam tentang peranan pertanian dalam kelangsungan hidup dan kesejahteraan masyarakat.

“Pepatah Melayu mengatakan, berbudilah pada tanah kerana tanah akan membalas hasilnya. Saya percaya bidang ini akan terus menjadi teras keterjaminan makanan dan pembangunan negara,” katanya.

Kini, Wan Irfan Hakim sedang melanjutkan pengajian di peringkat Bacelor Pendidikan Sains Pertanian dengan Kepujian di Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), UPM Kampus Serdang, dengan tekad menjadi pendidik yang bukan sahaja menyampaikan ilmu tetapi membentuk generasi muda agar mengenal makna kehidupan dan menghargai jasa alam serta masyarakat.

“Saya ingin mengajak rakan belia untuk berani meneroka bidang ini. Pertanian bukan sekadar pekerjaan, tetapi perjuangan demi kelangsungan manusia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan