AM > BERITA

PM Anwar Jelaskan Keputusan Tidak Merayu Pemberian 40 Peratus Hasil Kepada Sabah Di Parlimen Esok

12/11/2025 10:11 AM

PUTRAJAYA, 12 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi penjelasan di Parlimen esok berhubung keputusan kerajaan untuk tidak merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan Pemberian Khas 40 peratus hasil kepada Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata penjelasan itu turut merangkumi rayuan berhubung kecacatan dalam alasan penghakiman mahkamah berkenaan.

Beliau berkata keputusan tersebut dicapai secara konsensus dan muafakat selepas satu mesyuarat khas Jemaah Menteri bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Setelah Jemaah Menteri mengadakan mesyuarat khas semalam untuk mempertimbangkan keputusan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dan keputusan kita, ia dicapai selepas berjam-jam mendengar pandangan serta usul daripada setiap ahli Jemaah Menteri.

“Maka kita memutuskan secara konsensus dan muafakat mengenai keputusan tersebut. Berhubung soal 40 peratus yang termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, serta pertimbangan mengenai keputusan yang tidak dirayu, sementara keputusan penghakiman yang kita rayu akan saya jelaskan di Parlimen esok,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi November 2025 di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Seiring dengan keputusan Kerajaan Persekutuan itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam memaklumkan satu proses rundingan dengan Kerajaan Negeri Sabah akan dimulakan dalam kadar segera.

Menurut AGC, Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip Pemberian Khas 40 peratus hasil yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Dalam mesyuarat khas itu, Peguam Negara turut memberi nasihat dan pandangan kepada Jemaah Menteri mengenai beberapa kecacatan dalam alasan penghakiman tersebut, termasuk dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa serta melanggar kewajipan perlembagaan, yang dikatakan membabitkan kedua-duanya sejak tahun 1974.

Selain itu, AGC memaklumkan bahawa alasan penghakiman menyatakan kajian semula selepas tahun 2021 adalah menyalahi undang-undang, tidak rasional, dan tidak berkadaran.

Pada 17 Okt lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan telah bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan bagi tahun 1974 hingga 2021.

Hakim Datuk Celestina Stuel Galid menyifatkan pemberian khas yang dibuat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sebagai "tidak sah, ultra vires dan tidak rasional" serta melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut mengeluarkan perintah mandamus yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan mengadakan semakan semula hasil bersama Kerajaan Negeri Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi menegakkan semula hak 40 peratus hasil Sabah bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021.

Perintah itu menetapkan supaya semakan dilakukan dalam tempoh 90 hari, manakala persetujuan bersama antara kedua-dua pihak perlu dicapai dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan