AM > BERITA

Bahasa Korea, Tulisan Hangul Buka Peluang Rezeki Peniaga Mangga Di Anjung Kinabalu

12/11/2025 10:44 AM

Oleh Muhammad Saufee Rosman

KOTA KINABALU, 12 Nov (Bernama) -- “Annyeonghaseyo! Mango mas-isseoyo (mangga sedap)!” 

Sapaan mesra dalam bahasa Korea itu bukan kedengaran dari gerai di Seoul, Korea Selatan tetapi deretan penjaja di D’Walai Haruman iaitu blok yang menjual buah-buahan di Anjung Kinabalu yang sebelum ini dikenali sebagai Pasar Kraftangan Kota Kinabalu. 

Lebih menarik, tanda harga dan papan tanda dalam tulisan Hangul yang dipamerkan di beberapa gerai menjual mangga berjaya menarik perhatian pengunjung termasuk pelancong asing yang gemar menikmati buah tropika segar.

Di sebalik kemeriahan itu, terselit kisah menarik mengenai inisiatif anak-anak muda tempatan yang gigih mempelajari bahasa Korea demi memberikan pengalaman terbaik kepada pelanggan mereka.

Bagi peniaga muda, Fauzi Radan, 21, kelancaran bertutur dalam bahasa Korea dan kebolehan membaca serta menulis Hangul bukan hasil pembelajaran formal, sebaliknya pergaulan serta usaha sendiri sejak empat tahun lepas.

“Banyak pelancong Korea suka datang beli buah di sini. Jadi, saya cuba belajar bahasa mereka sedikit demi sedikit. Mula-mula belajar dengan kawan saya dari Korea, lama-lama jadi biasa,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Anak jati Kota Kinabalu itu berkata kemampuan berbahasa asing bukan sekadar memudahkan urusan jual-beli, malah menjadikan gerai keluarganya yang sudah 25 tahun beroperasi sebagai tumpuan utama pelancong Korea. 

“Kadang-kadang ada yang dari Korea bantu promosikan kedai kami di media sosial mereka. Bila kita boleh cakap bahasa mereka, mereka rasa lebih mesra dan dihargai. 

“Kalau saya tersalah sebut, mereka akan betulkan dan daripada situ makin banyak saya belajar,” katanya yang membantu keluarganya menjual buah-buahan sejak empat tahun lepas.

Fauzi berkata jualan sering meningkat pada hujung tahun apabila banyak pelancong Korea berkunjung ke bandar raya itu untuk bercuti, dengan sebahagian besar tidak melepaskan peluang membeli mangga tempatan sebagai buah tangan untuk dibawa pulang.

Turut petah berbahasa Korea, Muhammad Zaidi Gapul, 17, yang mempelajari bahasa itu melalui media sosial untuk membantu jualan mangga di gerai milik keluarganya.

“Saya belajar daripada TikTok masa umur 12 tahun. Susah juga mula-mula tapi lama-lama boleh,” katanya yang telah membantu keluarganya berniaga sejak setahun lepas.

Bagi remaja itu, kebolehan berkomunikasi dalam bahasa Korea menjadi kelebihan apabila berurusan dengan pelancong dari negara berkenaan yang gemar berinteraksi dengan peniaga tempatan.

“Kalau kami tak boleh cakap Korea, mereka susah faham tapi bila guna bahasa mereka, mereka rasa seronok dan lebih mesra. Pernah juga jual sampai 500 biji mangga sehari masa hujung minggu,” katanya.

Sementara itu, seorang pelancong Korea Andrew Lee, 55, berkata dia menghargai usaha yang ditunjukkan penjual buah-buahan tempatan dalam mempelajari bahasa ibundanya.

“Seronok betul bila penjual berbahasa Korea. Ia membuatkan kami berasa lebih rapat seperti kami pulang ke rumah tetapi dikelilingi oleh kemesraan tropika dan senyuman mesra.

“Ini adalah kali ketujuh saya datang ke Kota Kinabalu. Biasanya, saya datang seorang diri tetapi kali ini saya di sini bersama isteri dan anak saya. Kami suka membeli buah-buahan tempatan di sini kerana ia segar dan sangat lazat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan