AM > BERITA

MCMC, PDRM Rangka Gerak Kerja Bersepadu, Banteras Kecurian, Vandalisme Menara Telekomunikasi

12/11/2025 01:26 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi sedang merangka gerak kerja bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras kes kecurian kabel dan vandalisme menara telekomunikasi, termasuk melalui lawatan ke premis perniagaan atau pusat pengumpulan barang lusuh.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata premis perniagaan dan pengumpulan barang lusuh berpotensi menjadi lokasi penyimpanan barangan dicuri seperti kabel tembaga, bateri dan peralatan elektronik.

“Kementerian Komunikasi dan MCMC bersama pemberi perkhidmatan sentiasa bekerjasama dengan pihak penguat kuasa serta penduduk setempat bagi mengurangkan risiko kecurian dan vandalisme menara komunikasi, selain mengambil langkah meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu tersebut di tapak menara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Mordi Bimol (PH-Mas Gading) mengenai statistik kes kecurian dan vandalisme menara telekomunikasi sejak 2024 di Sarawak, khususnya di Mas Gading, termasuk kerugian, tindakan penguatkuasaan, dan langkah memastikan keselamatan menara baharu.

Pada tahun lepas, Teo berkata Sarawak mencatatkan tiga kes kecurian kabel dan 1,116 kes vandalisme menara telekomunikasi dengan jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM9.3 juta manakala sehingga suku kedua tahun ini, sebanyak 33 kes kecurian dan 334 kes vandalisme direkodkan melibatkan kerugian sebanyak RM3.48 juta.

Bagi meningkatkan keselamatan menara di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), beliau berkata pemberi perkhidmatan telah memperkasa atau hardening tapak menara telekomunikasi berisiko dengan pemasangan kelengkapan anti kecurian dan vandalisme seperti sesalur (trunking) besi untuk mengelakkan kabel tembaga daripada dipotong dan dicuri.

“Selain itu, pemasangan pagar dan kunci keselamatan tambahan di ruangan kabinet yang menempatkan peralatan elektronik dan bateri juga turut dilaksanakan bagi melindungi aset tersebut daripada dirosakkan atau dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Bagi kawasan berisiko tinggi pula, pemasangan peralatan kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem penggera turut dilaksanakan bagi membantu mengurangkan risiko kes kecurian dan vandalisme,” katanya.

Teo berkata peralatan di tapak menara telekomunikasi juga dilengkapi dengan peranti pengesan atau sensor yang akan menghantar isyarat kepada pihak pemberi perkhidmatan sekiranya berlaku pencerobohan atau kerosakan kepada sistem pemancar di tapak menara telekomunikasi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan