KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Pendekatan baharu pembiayaan berasaskan impak sebenar oleh Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dilihat sebagai reformasi besar untuk memastikan setiap pelaburan kerajaan dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memberi hasil kepada pelatih, industri serta negara.
Presiden Yayasan Mahir Malaysia Datuk P. Sri Ganes berkata inisiatif itu wajar dipuji kerana menuntut akauntabiliti lebih tinggi daripada penyedia latihan sekali gus mengelakkan pembiayaan diberikan kepada program yang tidak relevan.
Sri Ganes berkata pendekatan baharu itu selaras dengan Dasar TVET Negara 2030 yang menekankan keberhasilan pelatih, pemerkasaan institusi latihan dan kecekapan penggunaan dana.
Beliau turut menggesa Malaysia mencontohi langkah China menjenamakan institusi mereka sebagai Institusi TVET Berimpak Tinggi, yang berperanan sebagai pemacu inovasi dan teknologi.
“Graduan perlu bukan sahaja mahir secara teknikal tetapi juga bersedia menghadapi ekonomi digital dan hijau. Model ini boleh dijadikan panduan bagi meningkatkan daya saing global,” menurutnya dalam kenyataan kepada Bernama.
Sri Ganes turut memuji komitmen kerajaan yang memperuntukkan RM7.9 bilion bagi sektor TVET dalam Belanjawan 2026 termasuk RM650 juta bagi program kemahiran dibiayai PTPK dalam bidang pertumbuhan tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV) dan semikonduktor.
“Kami memuji Kementerian Sumber Manusia dan PTPK kerana berani melaksanakan dasar berasaskan impak yang memberi manfaat jangka panjang kepada tenaga kerja negara,” katanya.
Pada 12 Sept lepas, PTPK menafikan dakwaan satu gabungan pusat latihan swasta bahawa perbadanan itu telah beberapa kali menghentikan pinjaman pelajaran dan elaun sara hidup pelatih.
Menurut PTPK, pengagihan dana pada masa depan akan berpandukan keutamaan kepada program berimpak tinggi, prestasi bayaran balik pinjaman, pematuhan syarat permohonan serta penempatan pekerjaan selepas latihan.
Baru-baru ini, Sri Ganes menerima watikah pelantikan sebagai Pegawai Bersekutu berpangkat Leftenan Kolonel (PA) pada Majlis Perhimpunan Setia Angkatan Pertahanan Awam (APM) Wilayah Persekutuan 2025 di Putrajaya.
Pelantikan itu mengiktiraf sumbangan beliau dalam memperkukuh keupayaan APM melalui kepakaran dron, latihan bertauliah dan penggunaan teknologi yang meningkatkan kecekapan serta keselamatan operasi di lapangan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial