AM > BERITA

Suruhanjaya Halal: Langkah Strategik Perkasa Pensijilan Halal Usahawan - Ramanan 

12/11/2025 04:35 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Cadangan Penubuhan Suruhanjaya Halal di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 dilihat sebagai langkah strategik bagi memperkukuh pengurusan dan pensijilan halal negara secara lebih menyeluruh dan bersepadu, khususnya dalam membantu usahawan meningkatkan daya saing di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata selepas 2025, kementerian itu tidak lagi menerima peruntukan khusus untuk tujuan membantu bimbingan pematuhan halal dalam kalangan usahawan berikutan tanggungjawab itu kini di bawah seliaan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC).

Beliau bagaimanapun berkata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Halal yang bakal ditubuhkan itu untuk membantu usahawan produk halal. 

“Memang kementerian ingin bekerjasama dengan usahawan-usahawan ini tetapi dengan adanya Suruhanjaya Halal yang akan diwujudkan itu, ia bakal mengambil urusan dan bantuan untuk memperkukuh industri halal,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Ramanan menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai sama ada kementerian masih berperanan dalam pengurusan sijil halal untuk usahawan.

Beliau berkata buat masa ini peranan kementerian tertumpu kepada usaha meningkatkan daya saing produk usahawan termasuk aspek penambahbaikan pembungkusan dan penjenamaan produk termasuk produk halal.

Menurut Ramanan, KUSKOP sentiasa komited dalam memperkukuh daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui program keusahawanan merangkumi aspek pensijilan halal dan standard kualiti.

Beliau turut mengambil contoh inisiatif utama Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) oleh SME Corp yang bertujuan meningkatkan produktiviti, pematuhan pensijilan, promosi serta pengiklanan.

“Melalui program ini, sebuah syarikat PMKS yang menjalankan perniagaan jeruk telah menerima geran bernilai RM500,000 untuk pembelian mesin dan peralatan,” katanya.

Selain itu, Ramanan berkata Program Pembangunan Keusahawanan Halal (PPKH) pula memberi fokus kepada tiga elemen utama iaitu pensijilan dan standard, pemasaran dan promosi serta sokongan kewangan dan bimbingan teknikal.

“Program itu memperkukuh kapasiti produk halal dari segi penjenamaan, pembungkusan dan pelabelan, manakala Program Pengantarabangsaan Usahawan Halal (PPUH) pula mengembangkan dan mengukuhkan jenama halal Malaysia di pasaran antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan