AM > BERITA

PTPK Kekal Salur Pembiayaan Kepada Pelajar Termasuk B40 - Abdul Rahman

12/11/2025 04:35 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) tidak menghentikan pembiayaan kepada mana-mana pelajar termasuk daripada keluarga berpendapatan rendah (B40), kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Beliau berkata tuduhan bahawa PTPK sudah beberapa kali menghentikan bantuan kepada pelajar B40 juga tidak berasas, malah perbadanan itu telah mengeluarkan kenyataan media pada 11 Sept lepas, untuk menjelaskan perkara berkenaan.

Menurut Abdul Rahman, sehingga Ogos 2025, PTPK telah meluluskan pinjaman dan mempunyai komitmen pembiayaan aktif berjumlah RM524 juta melibatkan 52,098 pelajar di 306 pusat latihan.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 21,947 pelajar telah diluluskan pinjaman mereka pada 2025. Semua pelajar yang diluluskan pinjaman masih terus menerima pembiayaan dan elaun sara hidup seperti biasa.

“Elaun sara hidup kini juga telah dinaikkan daripada RM400 kepada RM800 setiap pelajar,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) berhubung dakwaan kononnya elaun sara hidup di bawah PTPK dihentikan semenjak beberapa tahun lepas hingga mencetuskan  tekanan kepada pelajar B40.

Abdul Rahman berkata fokus pembiayaan pada 2025 lebih tertumpu kepada program kemahiran khususnya sektor dan industri pertumbuhan tinggi serta bernilai tinggi (HGHV), selaras dengan bidang keutamaan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) termasuk penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), kenderaan elektrik (EV), aeroangkasa dan kecerdasan buatan (AI).

Bagi perancangan masa depan, beliau berkata pengagihan dana PTPK akan berdasarkan keutamaan seperti program berimpak tinggi, rekod prestasi bayaran balik pinjaman, pematuhan terhadap syarat permohonan (termasuk rayuan) dan penempatan pekerjaan selepas tamat latihan.

Dari segi kadar kebolehpasaran, Abdul Rahman memaklumkan hampir 100 peratus pelajar yang menamatkan latihan di bawah PTPK berjaya memperoleh pekerjaan, manakala sebahagian kecil belum bekerja adalah kerana memilih pekerjaan lebih sesuai dengan kelayakan masing-masing.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan