SIBU, 12 Nov (Bernama) -- Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal Hospital Sibu merangkap pakar perunding pediatrik Dr Toh Teck Hock, mengenang mendiang Tan Sri Datuk Tiong Hiew King sebagai seorang pemimpin yang rendah hati serta sentiasa menyokong pembangunan belia dan aktif dalam kerja-kerja kebajikan masyarakat.
Dr Toh, yang mengenali Tiong sejak zaman remajanya melalui pergerakan Pengakap, berkata mendiang dikenang ramai di Sibu ketika itu sebagai “Senator Tiong” semasa berkhidmat di Dewan Negara dan memegang jawatan sebagai Pengerusi Persatuan Pengakap Sibu.
Beliau berkata Tiong seorang yang mudah didekati dan penyokong setia, sering menghadiri acara Pengakap, menyampaikan anugerah serta melawat kem latihan yang turut ditajanya secara peribadi.
“Walaupun bertubuh tinggi dan tegap, beliau amat merendah diri dan rendah hati, malah terhadap remaja yang mungkin tidak dikenali dengan baik. Kebaikan itu meninggalkan kesan mendalam kepada saya,” kata Dr Toh dalam catatan Facebook beliau.
Dr Toh turut mengimbas kembali bantuan Tiong pada 1996 ketika beliau dan rakan-rakan universiti berhasrat menerbitkan buku pertama mereka berjudul Under the Southern Cross semasa belajar di Melbourne. Mendiang tampil menanggung sepenuhnya kos percetakan tanpa sebarang keraguan.
“Tanpa kemurahan hati Tan Sri, impian kami sebagai pelajar universiti yang idealistik mungkin tidak menjadi kenyataan. Sumbangannya terhadap penerbitan buku kami hanyalah setitis air di lautan jika dibandingkan dengan pelbagai program dan komuniti yang beliau sokong secara senyap,” katanya.
Dr Toh terakhir kali bertemu Tiong ketika perasmian rasmi Agape Centre pada 2010.
“Terima kasih, ‘Senator’ Tiong, atas kerendahan hati, kemurahan, dan keyakinan terhadap impian golongan muda. Semoga rohnya dicucuri rahmat,” kata beliau.
Tiong, seorang hartawan dalam bidang kayu dan media di Sarawak, meninggal dunia semalam pada usia 90 tahun.
Komuniti Sibu, terutamanya mereka yang pernah bekerja dalam industri pembalakan, mengucapkan takziah kepada keluarga Tiong melalui media sosial.
Di halaman Facebook Berita Sibu, seorang pengguna bernama Mengong Jaman, yang pernah bekerja di Rimbunan Hijau Gabon (Bordamur), Afrika Barat selama 15 tahun, mengenang Tiong sebagai majikan yang baik dan bijak mengurus pekerja.
Seorang lagi, Yut Janggu, 56, yang pernah membersihkan pejabat Tiong berhampiran Sibu Gateway pada 1986, berkata mendiang dikenangnya sebagai seorang yang sangat baik dan pernah memberinya barangan makanan ketika bekerja.
Sementara itu, Persatuan Klan Tiong Sarawak dalam kenyataannya memaklumkan bahawa satu jawatankuasa pengebumian telah ditubuhkan bagi membantu ahli klan dari seluruh dunia yang merancang menghadiri upacara pengebumian Tiong pada 15 Nov ini bermula 8 pagi.
Persatuan itu berkata, ia akan membantu menguruskan tempahan bunga, penginapan hotel, pengangkutan serta perkhidmatan penerimaan bagi mereka yang datang ke Sibu.
Atas permintaan keluarga, persatuan itu akan bekerjasama dengan Kumpulan Rimbunan Hijau untuk menyelaraskan pengurusan pengebumian. Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi +60 16-873 1397 / +60 16-659 4212 (WhatsApp) atau melalui emel di swkzhangclan@gmail.com.
Persatuan itu menggambarkan Tiong sebagai seorang yang rendah hati, penyayang dan berdedikasi kepada kebajikan masyarakat, serta menganggap pemergiannya sebagai satu kehilangan besar kepada klan dan masyarakat.
Tiong merupakan Presiden Kehormat Tetap dan Presiden Pengasas Persatuan Klan Tiong Sedunia, Presiden Kehormat Tetap Gabungan Persatuan Klan Tiong Malaysia, serta Presiden Kehormat Tetap dan Presiden Pengasas Persatuan Klan Tiong Sarawak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial