AM > BERITA

Penduduk Harap Masalah Benteng Penahan Ombak Pecah Diselesai Segara

12/11/2025 07:30 PM

BATU PAHAT, 12 Nov (Bernama) -- Penduduk di sekitar Kampung Sungai Berong Laut, Rengit di sini semakin bimbang susulan kejadian benteng penahan ombak pecah yang dilaporkan berlaku berulang kali, melebihi tujuh kali setakat ini dengan kejadian terbaharu pada minggu lepas.

Seorang penduduk, Azman Samion, 60, berkata benteng itu pecah beberapa kali akibat air pasang besar tahun lepas, namun ia hanya menyebabkan kerosakan kecil dan tidak seteruk kali ini yang dikatakan paras air lebih tiga meter.

Azman berkata selain menjejaskan kediaman penduduk, hasil tanaman yang terdiri daripada kelapa dan kelapa sawit juga sukar untuk dituai setelah kebun penduduk ‘digenangi’ air.

“Pendapatan penduduk juga akan terjejas untuk jangka panjang setelah hasil tanaman terbantut… ini adalah kerana buah yang terhasil tidak mencapai kualiti yang ditetapkan untuk dijual.

“Kami penduduk di sini (Kampung Sungai Berong Laut) berharap ada tindakan segera oleh pihak berwajib agar kejadian seperti ini dapat ditangani,” katanya kepada Bernama semasa tinjauan kesan fenomena air pasang besar di sini hari ini.

Azman berkata selain menjejaskan tanaman, dia yang bekerja sambilan memukat udang turut mengakui hasil tangkapan di langgai (seperti kelong) turut berkurangan akibat fenomena itu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang Mohd Yusla Ismail berkata pihaknya ambil maklum kejadian air pasang besar itu sehingga mengakibatkan benteng penahan ombak pecah di beberapa lokasi.

Beliau berkata berdasarkan laporan awal pihak kontraktor terlibat, terdapat kira-kira 100 meter benteng yang bermasalah perlu dibaiki segera.

“Tindakan awal (baik pulih) telah bermula membabitkan kawasan di Kampung Sungai Berong sehingga Parit Botak semalam, merangkumi 46 meter.

“Pampasan juga akan diberikan kepada ketua isi rumah (KIR) yang disalurkan oleh kerajaan negeri melalui ADUN kawasan berjumlah RM3,000,” katanya ketika dihubungi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan