KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Kira-kira RM500,000 diperlukan bagi membawa pulang jemaah haji Malaysia Asmah Mansor, 71, yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Saudi German Hospital, Makkah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata kutipan derma bagi tujuan itu telah dilancarkan melalui Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Yayasan Waqaf Malaysia.
“Alhamdulillah, setakat hari ini kita sudah kumpul hampir RM10,000. Berdasarkan maklumat daripada doktor pakar di Arab Saudi dan pasukan perubatan Tabung Haji, anggaran kos membawa pulang Hajah Asmah ke tanah air mencecah RM500,000,” katanya selepas merasmikan Kelas Bimbingan Fardu Ain (KAFA) Orang Kurang Upaya (OKU) Pekak 2025, di sini hari ini.
Mohd Na’im berkata beliau juga sempat bertemu Asmah di hospital semasa lawatan kerjanya ke Arab Saudi baru-baru ini dengan jemaah itu memohon agar dibawa pulang ke tanah air.
“Bayangkan, hampir empat bulan Hajah Asmah berada di negara orang, jauh daripada keluarga dan tidak tahu berbahasa Arab. Hanya warga kerja Tabung Haji yang datang sekali-sekala memberi semangat kepadanya,” katanya.
Beliau berkata rakyat Malaysia diseru untuk bersama-sama menyumbang bagi membantu membawa pulang Asmah ke tanah air sebagai satu bentuk amal jariah.
“Kita mahu memberi peluang kepada rakyat untuk turut sama buat pahala. Ini amal jariah yang besar, insya-Allah pihak kerajaan juga akan membantu,” katanya.
Semalam, Mohd Na’im berkata jemaah itu disahkan menghidap pneumonia dan sedang menerima rawatan di Saudi German Hospital sejak 13 Sept lepas.
Beliau turut memaklumkan Asmah telah menyempurnakan ibadah haji sebelum dimasukkan ke hospital dan kini masih memerlukan pemantauan rapi oleh pasukan perubatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial