AM > BERITA

RM5 Juta Mulakan Pembangunan Santuari Gajah Johor Fasa 2 Tahun Depan

12/11/2025 07:47 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Kerajaan meluluskan RM5 juta bagi memulakan pembangunan Pusat Santuari Gajah Johor (JES) Fasa 2 pada 2026, sebagai sebahagian usaha menangani konflik gajah-manusia dan memperkukuh konservasi hidupan liar.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata projek Fasa 2 itu merangkumi pembinaan 5.7 kilometer (km) laluan, 9.3 km halangan fizikal serta pemasangan sistem pagar elektrik gajah (SPEG).

“Hal ini bagi memastikan kacau ganggu gajah dapat diuruskan dengan lebih baik. Keseluruhan projek bagi Fasa 2 ini dianggarkan menelan belanja sebanyak RM43 juta dan dijangka berfungsi sepenuhnya menjelang 2028,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Huang berkata Malaysia akan menerima sepasang panda gergasi pada pertengahan bulan ini hasil kerjasama antara kerajaan Malaysia dan China, yang mencerminkan hubungan dua hala serta komitmen bersama kedua-dua negara dalam usaha pemuliharaan hidupan liar.

Beliau berkata projek pinjaman panda itu diteruskan di bawah perjanjian baharu selama 10 tahun yang ditandatangani pada 16 April lepas semasa lawatan rasmi Presiden China Xi Jinping ke Malaysia.

“Perjanjian yang diperbaharui ini membolehkan Malaysia menerima sepasang panda gergasi muda bagi tempoh antara 2025 hingga 2035,” katanya.

Huang turut memaklumkan projek Jejambat Lintasan Hidupan Liar Johor di Jalan Batu Pahat-Jemaluang berjalan mengikut jadual dan dijangka siap pada 7 Feb 2028.

Bagi memperkukuh penguatkuasaan, beliau berkata kerajaan menyediakan peruntukan RM80 juta pada 2026 bagi melantik 2,500 Renjer Komuniti di seluruh negara.

Beliau berkata laluan kerjaya pegawai hidupan liar turut dipertingkat melalui semakan elaun khas dan skim perjawatan baharu, selain kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diteruskan untuk pemantauan populasi Harimau Malaya.

Menjawab mengenai cadangan pemberian subsidi dan insentif untuk menggalakkan pengeluaran kotak kertas bagi menggantikan penggunaan plastik, Huang berkata kementerian mengambil maklum akan cadangan itu dan NRES akan bekerjasama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta kementerian lain bagi meneroka insentif yang bersesuaian.

Menyentuh mengenai peruntukan Belanjawan 2026 bagi Kempen Tiada Beg Plastik, beliau berkata tiada peruntukan khusus bagi menjayakan inisiatif itu, sebaliknya belanjawan sedia ada digunakan bagi memperluas kempen berkenaan di seluruh negara.

“Inisiatif pengurangan plastik memerlukan kerjasama daripada semua pihak. Kementerian mengalu-alukan penglibatan pihak berkepentingan serta pertubuhan bukan kerajaan dalam memastikan usaha pelestarian dapat dijayakan,” katanya.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM2,386,704,300 yang diperuntukkan kepada NRES dalam Belanjawan 2026 dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 18 Ahli Parlimen.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan